Jabatan Perdana Menteri Dapat Pujian Audit Negara - pakdin.my

audit-negara-2013

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah (PSPS) mengungguli kementerian dan jabatan terbaik menguruskan kewangan dalam Indeks Akauntabiliti 2013.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 3 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, JPM mencatat markah keseluruhan 98.6 peratus sementara PSPS memperoleh markah 98.8 peratus, kedua-duanya berada di tahap sangat baik.

Kementerian yang menunjukkan prestasi baik namun berada di kedudukan paling bawah ialah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dengan mencatat markah 87.2 peratus sementara Institut Sosial Malaysia merupakan jabatan di kedudukan terendah dengan markah 74.7 peratus.

“Sebanyak 23 kementerian mencapai tahap sangat baik bagi 2013 berbanding hanya 10 kementerian pada tahun 2009, manakala 21 dari 45 jabatan berada di tahap sangat baik pada 2013 iaitu 46.7 peratus,” menurut laporan itu.

Penarafan bagi kementerian dan jabatan persekutuan diberikan berdasarkan pengauditan terhadap pengurusan kewangan mengikut enam kawalan iaitu kawalan pengurusan; kawalan bajet; kawalan terimaan; kawalan perbelanjaan; pengurusan akaun amanah/kumpulan wang amanah dan deposit serta pengurusan aset dan stor.

Sementara itu, pemeriksaan audit mengejut di 129 pejabat badan berkanun persekutuan di negeri dan daerah mendapati hanya 25 pejabat atau 19.4 peratus mematuhi kesemua peraturan dan prosedur utama ditetapkan manakala baki 104 pejabat atau 80.6 peratus lagi tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 mendedahkan sejumlah 31 pejabat tidak menguruskan wang kutipan secara teratur; 40 pejabat tidak mengeluarkan resit rasmi secara bersiri; empat pejabat tidak menyelenggara daftar mel dan 30 pejabat tidak menguruskan panjar wang runcit dengan baik.

Sebanyak 15 pejabat pula tidak menyediakan surat perwakilan kuasa secara bertulis; 21 pejabat tidak merekod stok setem fizikal; 53 pejabat tidak menggunakan peti besi atau bilik kebal untuk menyimpan wang kutipan dan barang rasmi; 64 pejabat tidak diperiksa secara mengejut oleh ketua jabatan; dan lapan pejabat tidak mempamerkan notis pemberitahuan.

UTAMAEKONOMIJabatan Perdana Menteri Dapat Pujian Audit Negara

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium