Sunday - July 25, 2021 @ 20:46
POLITIKJafrei cabar Ronnie jawab isu pokok

Jafrei cabar Ronnie jawab isu pokok

Jafrei Nordin
Jafrei Nordin

PULAU PINANG 9 Feb. – Bekas Pegawai Khas Ronnie Liu, Jafrei Nordin meminta Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor itu supaya tidak menimbulkan isu remeh sebaliknya menjawab soalan pokok yang dibangkitkannya semalam.

Jafrei berkata, dakwaan Ronnie yang beliau mencetak kad nama secara sulit tanpa pengetahuan wakil rakyat DAP itu adalah cubaan untuk mengalihkan isu besar yang harus dijelaskan kepada rakyat.

“Saya seorang profesional yang mana jika berurusan, saya akan pastikan segala dokumen rasmi lengkap.

“Kepada Ronnie, jangan cuba membuat provokasi terhadap saya, kelak beliau yang malu besar kerana saya tahu apa yang beliau tahu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Jafrei, 41, mengumumkan peletakan jawatannya serta-merta sebagai pembantu khas Ronnie selepas hilang kepercayaan terhadap bekas majikannya itu selain sikap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran itu yang cuba memecah-belahkan rakan sekutu dalam pembangkang iaitu Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor.

Jafrei yang juga seorang jurutera dan mempunyai firma sendiri berkata, Ronnie boleh menafikan beliau pernah bertugas dengannya, namun tiada apa yang perlu ditakutkan kerana mempunyai bukti dan yakin berada di pihak yang benar.

Sepanjang bertugas Jafrei berkata, beliau pernah beberapa kali mewakili Ronnie dalam mesyuarat termasuk Majlis Perbandaran Ampang Jaya sekitar 2009.

“Ketika itu tugas saya ialah mencatat segala perkara berbangkit membabitkan bidang kuasa Ronnie sebagai Exco dan kemudian akan memaklumkan kepadanya.

“Seterusnya segala maklum balas daripada beliau akan saya sampaikan kembali kepada pihak berkuasa tempatan berkenaan, jadi adakah itu bermaksud saya tidak pernah bekerja dengannya?” katanya.

Jafrei berkata, beliau juga mempunyai pejabat di Aras 15, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di Shah Alam untuk melakukan tugasan rasmi bagi pihak Ronnie.

“Sekiranya perlu, saya akan membuat sidang akhbar lanjut berhubung perkara ini dan tidak ada apa yang perlu ditakutkan,” katanya.

Berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here