Jaga Institusi Keluarga, Kejiranan Semasa Pilihan Raya - pakdin.my

bannerpru

Suami-isteri bercerai, adik-beradik terputus silaturrahim dan keakraban jiran terjejas — semuanya pernah dilaporkan berlaku di negara ini akibat ketaksuban berpolitik terutamanya menjelang pilihan raya umum.

Semata-mata kerana perbezaan pandangan atau fahaman politik, ada anggota masyarakat sanggup mengetepikan institusi keluarga dan kejiranan.

Penganalisis politik Profesor Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata hanya mereka yang tidak matang dalam berpolitik akan mengikut nafsu sehingga sanggup mengetepi dan memecahbelahkan keluarga.

Shamrahayu, Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Profesor Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berkata masyarakat seharusnya sedar bahawa hubungan kekeluargaan yang kukuh merupakan asas kepada kekuatan sesebuah negara bangsa.

“Tidak perlulah kita begitu taksub dengan parti politik sehingga pecah belahkan keluarga kerana hubungan keluarga yang akrab merupakan titik tolak kepada kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Nada sama turut disuarakan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan yang berkata rakyat Malaysia perlu mencontohi kematangan rakyat di negara maju berpolitik.

Beliau berkata ia selaras dengan hasrat Malaysia untuk muncul sebagai negara maju dalam tempoh tujuh tahun lagi.

Katanya, setiap lapisan rakyat mempunyai hak untuk memilih atau menyertai mana-mana parti politik dan hak tersebut wajar dihormati.

Azman Amin berkata pemimpin parti politik seharusnya mampu mendidik penyokong masing-masing untuk berbuat kebaikan dan bukannya menangguk di air keruh.

Bagi Pakar Motivasi, Prof Madya Dr Md Izuddin Ali pula adalah malang jika perbezaan fahaman politik bukan sahaja menjejas ikatan kekeluargaan, malah turut mengheret permusuhan sesama jiran tetangga.

Dr Md Izuddin, yang terkenal dengan ‘tagline’ “Renung-renungkan dan selamat beramal” berkata dalam keghairahan berpolitik tuntutan agama yang mahu setiap penganutnya berbaik-baik dengan jiran tidak harus diketepikan.

“Tidak salah untuk terlibat dengan politik tapi biarlah dapat bangunkan diri sendiri dan masyarakat kerana setiap kita ada hak untuk hidup dalam keadaan aman,” kata pensyarah Fakulti Sains Komputer dan Matematik Universiti Tekonologi Mara (UiTM) itu.

UTAMAPILIHAN RAYAJaga Institusi Keluarga, Kejiranan Semasa Pilihan Raya

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium