Jambatan Di Persimpangan Bertingkat Selangor Science Park 2 Runtuh - pakdin.my

jambatan runtuh berhampiran Selangor Science Park 2

jambatan runtuh berhampiran Selangor Science Park 21

PUTRAJAYA: Sebuah jambatan yang masih dalam pembinaan di persimpangan bertingkat di Selangor Science Park 2, antara Plaza Tol Putrajaya dan Putrajaya/Cyberjaya, runtuh di sini, Khamis.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden melibatkan jambatan yang masih ditutup untuk kegunaan awam itu, kata Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul kepada Bernama.

Sementara itu, jurucakap Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berkata jambatan yang runtuh itu merupakan lebuh raya sambungan ke Putrajaya dan ia di bawah kawal selia PKNS.Difahamkan kejadian itu berlaku pada 1 tengah hari dan ia tidak mengganggu sebarang lalu lintas.

Dalam satu kenyataan, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berkata beliau sebelum ini mengambil keputusan menutup jambatan yang dibuka kepada lalu lintas pada Mac 2012 itu dan laluan di bawahnya atas faktor keselamatan.

Sambil berkata jambatan itu dibina oleh PKNS, Shaziman menegaskan: “Bagi saya, keselamatan pengguna tidak boleh dikompromi dan wajib diberi keutamaan.”

Katanya, beliau melawat jambatan itu pada 7 Disember 2012 selepas dimaklumkan Lembaga Lebuhraya Malaysia terdapat pergerakan pada satu daripada tiang jambatan di Persimpangan Bertingkat Science Park 2 yang menjadi laluan ke Putrajaya dan Cyberjaya.

“Saya telah diberi taklimat mengenai keadaan jambatan dan saya membuat keputusan menutup jambatan itu dan laluan di bawahnya kepada lalu lintas sepenuhnya atas faktor keselamatan,” katanya.

Berikutan penutupan jambatan dan laluan itu kepada lalu lintas mulai 7 Disember tahun lepas, satu lencongan jalan diwujudkan di KM P2.4 iaitu di persimpangan bertingkat antara Plaza Tol Putrajaya dan Putrajaya/Cyberjaya di laluan Lingkaran Putrajaya bagi membolehkan kerja pemeriksaan dijalankan pihak bertanggungjawab.

Shaziman berkata beliau turut menandatangani satu warta mengenai penutupan jalan terlibat sehingga 31 Dis 2013, tertakluk kepada tarikh siap sebenar kerja membaiki jambatan itu.

“Berikutan kejadian hari ini, pihak berkenaan sedang mengambil tindakan sewajarnya,” jelas beliau.

Dalam pada itu, PLUS Malaysia Berhad berkata jambatan tersebut tidak pernah diserahkan kepada syarikat itu untuk diselenggara.

“Jambatan itu telah dibina oleh PKNS dan masih di bawah tanggungjawab PKNS sehingga kini,” katanya dalam kenyataan.

 

UTAMABERITAJambatan Di Persimpangan Bertingkat Selangor Science Park 2 Runtuh

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium