Sunday - July 25, 2021 @ 01:10
BERITANASIONALJangan cari jalan untuk bermusuh, titah Agong

Jangan cari jalan untuk bermusuh, titah Agong

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah hari ini bertitah mengingatkan rakyat supaya bersatu padu ke arah kebaikan dan tidak mencari jalan untuk bermusuhan sesama sendiri, yang pada akhirnya akan hanya mendatangkan musibah kepada semua.

“Apakah yang akan kita tinggalkan kepada darah daging kita, anak cucu kita, selaku generasi akan datang. Adakah sebuah negara yang punah atau watan yang makmur sejahtera. Pada hemat beta, semua pilihan ini terletak dalam tangan setiap rakyat Malaysia.

“Sekalipun atas nama politik atau apa-apa organisasi janganlah sehingga sanggup meletakkan ia melebihi kepentingan negara, hatta mengkucar-kacirkan keharmonian. Ini ternyata suatu perkembangan yang tidak sihat dan sewajibnya dielakkan,” titah Seri Paduka pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran Persekutuan sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Tuanku Abdul Halim berkata hakikatnya, kejayaan sebenar negara adalah apa yang akan dicapai di garis-garis hadapan dan bukannya tersimpul dalam detik-detik silam dan ia terbina atas harapan, impian, imaginasi dan usaha gigih semua anak-anak Malaysia.

“Dalam aspek ini, beta yakin, tiada sesiapa yang boleh menafikan bahawa keunikan Malaysia adalah tentang pendirian kerajaan yang mentadbir sejak sekian lama menurut kerangka serta acuan kita sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Padang Rakyat Kelana Jaya, Datuk Zul Mukshar Md Shaari menunjukkan dokumen Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2 (RTPJ2) yang diwartakan dan dokumen RTPJ2 yang dicetak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) ketika ditemui BERNAMA di Kelana Jaya dekat sini.

Mengimbas lipatan waktu, Seri Paduka bertitah Malaysia telah menempuh pelbagai peristiwa pahit manis.

“Alhamdulilah, di sebalik cabaran dan rintangan yang sesetengahnya hampir mencarik fabrik asas kenegaraan, kita telah mampu keluar daripadanya dengan penuh jaya tanpa sedikit pun mengorbankan prinsip keluhuran Perlembagaan, mahupun kedaulatan undang-undang.

Tuanku Abdul Halim turut bertitah bahawa perjalanan negara masih jauh, dan tidak hanya bermatlamat menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020, tetapi menjadi negara yang kekal berdaya saing dan sentiasa dihormati di persada antarabangsa.

Justeru, Seri Paduka sekali lagi mengingatkan setiap rakyat bersedia menggalas tanggungjawab dan melaksanakan peranan masing-masing dengan sepenuh hati, tidak ada yang terkecuali.

“Rakyat Malaysia perlulah menjadi menjadi warga yang perkasa dan dinamik, yang bukan sahaja tinggi penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran, tetapi juga tinggi nilai akhlak, moral dan etikanya,” titah Seri Paduka.

Seiring dengan perkembangan media baru dan teknologi maklumat, Yang di-Pertuan Agong mengingatkan golongan muda khususnya, yang merupakan aset negara supaya menperkukuh jati diri masing-masing daripada dipergunakan untuk kepentingan kelompok tertentu.

Tuanku Abdul Halim turut melahirkan rasa sukacita terhadap keprihatinan kerajaan melaksanakan pelbagai program transformasi yang bermanfaat secara terus kepada rakyat sama ada di bandar mahupun di desa.

“Setiap daripada kita perlu bijaksana dan menghargai usaha kerajaan beta yang diketuai oleh Mamanda Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Justeru, hanya kitalah yang lebih maklum tentang apa yang perlu serta terbaik untuk mengharungi masa depan bagi menggapai mercu tanda kemajuan.

“Sesungguhnya, pengalaman beta selama puluhan tahun mengamati serta menghalusi perjalanan negara ini, dapatlah beta simpulkan bahawa atas nikmat kehidupan yang dikecapi, rakyat haruslah bersyukur dan berterima kasih dengan terus memberi sokongan di atas usaha gigih kerajaan dalam mentadbir dan mengurus Malaysia sebaik mungkin,” titah Seri Paduka.

Berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here