Jangan Panik Dengan Kes Demam Kepialu - pakdin.my

demam-kepialu-tanda

Orang ramai tidak perlu panik dengan kes demam kepialu sebaliknya perlu terus mempertingkatkan aspek kebersihan diri masing-masing bagi mengelak sebarang jangkitan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Beliau berkata demam kepialu merupakan wabak yang boleh dirawat, namun orang ramai perlu mengutamakan kebersihan terutama mengelak daripada makan di tempat yang diragui kebersihannya selain mendapat bekalan air bersih serta menggunakan tandas.

“Demam kepialu bukan merupakan perkara baharu di negara ini dan Kementerian Kesihatan mempunyai bekalan vaksin yang mencukupi dalam menanganinya.

“Kita mengesan kes demam kepialu ini bermula dari tujuh buruh binaan warga asing di tapak pembinaan di Cheras, Kuala Lumpur pada Ogos lepas,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen QA Kementerian Kesihatan Peringkat Kebangsaan Ke-8 di sini, Selasa.

Semalam Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengeluarkan kenyataan bahawa jumlah kes demam kepialu di Kuala Lumpur meningkat kepada 32 kes sejak Ogos lepas dengan 16 kes dikesan di Titiwangsa, Kepong (lapan), Lembah Pantai dan Cheras (masing-masing empat kes).

Menurut Dr Noor Hisham, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sedang menjalankan siasatan epidemiologi di lapangan bagi mengetahui punca jangkitan yang menyebabkan kejadian demam kepialu.

Dr Subramaniam berkata bagi memastikan kebersihan dalam kalangan pekerja asing, pihak majikan perlu memastikan mereka diberi tempat tinggal yang lebih elok dan dilengkapi fasiliti secukupnya terutama air bersih.

Beliau berkata pihaknya juga akan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia dalam memastikan kesihatan pekerja dan orang awam terjamin.

“Kita melakukan ujian kesihatan kepada pekerja asing termasuk malaria, HIV dan tibi, namun tidak kepada ujian demam kepialu kerana ia memerlukan kos besar. Sehubungan itu, kita nasihatkan semua pihak supaya menjaga kebersihan masing-masing,” katanya.

Sementara itu lebih 600 individu menyertai konvensyen QA tersebut yang bermula semalam sehingga Khamis ini bagi mengembangkan peningkatan kualiti dalam kalangan anggota kesihatan selain bagi mengiktiraf usaha pelaksanaan aktiviti peningkatan kualiti secara formal.

Sejumlah 52 projek turut dipertandingkan pada konvenyen berkenaan dengan melibatkan dua kategori iaitu pembentangan oral dan poster.

UTAMAJangan Panik Dengan Kes Demam Kepialu

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium