Jangan Perjudikan Kemerdekaan Negara Untuk Kejar Publisiti, Titah Raja Muda Perlis - pakdin.my

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan rakyat supaya tidak memperjudikan kemerdekaan negara semata-mata untuk mengejar publisiti dan populariti.

Titah baginda sejak kebelakangan ini, masyarakat digemparkan dengan pelbagai isu berkaitan sejarah kemerdekaan negara sama ada melalui perdebatan, pendapat dan andaian terbuka.

Bertitah merasmikan karnival perpaduan IMalaysia peringkat negeri Perlis sempena sambutan hari kemerdekaan ke-54 di Kolej Matrikulasi Arau dekat sini, baginda bertitah isu seumpama itu tidak sepatutnya diberi liputan media secara berlebihan.

Titah baginda isu-isu seumpama itu termasuk berkaitan komunis alaf baru secara tidak langsung menyalakan semula api permusuhan yang telah kian lama terpadam.

“Apa yang memburukkan keadaan ialah apabila pendapat dan juga fakta-fakta yang disampaikan diragui kesahihannya. Apa-apa niat yang tersirat atau tersurat, usahlah kita memperjudikan kemerdekaan negara,” titah baginda.

Baginda juga berharap kekuatan perpaduan yang sedia terjalin di negara ini disemai ke seluruh generasi pelapis agar mereka juga dapat menghayati nilai perpaduan dan menanamkan semangat patriotik dan jati diri dalam diri mereka.

Titah Tuanku Faizuddin kejayaan mewujudkan satu bangsa Malaysia yang bersatu padu, stabil dan berjaya akan menjadikan negara ini dihormati dunia.

“Tanpa perpaduan, negara akan mudah terdedah kepada pelbagai ancaman dan kelemahan yang boleh mengakibatkan kedaulatan negara terjejas dan berlaku huru-hara, rusuhan, pergaduhan kaum dan sebagainya,” titah baginda.

Selain itu, titah Raja Muda Perlis nilai perpaduan negara adalah penting dalam penyusunan strategi pembangunan serta pentadbiran negara di samping dapat mempertahankan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

UTAMABERITAJangan Perjudikan Kemerdekaan Negara Untuk Kejar Publisiti, Titah Raja Muda Perlis

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium