Thursday - July 29, 2021 @ 05:21
BERITANASIONALJenis Benteng Tidak Sesuai Punca Benteng Di Bukit Setiawangsa Runtuh - Pakar

Jenis Benteng Tidak Sesuai Punca Benteng Di Bukit Setiawangsa Runtuh – Pakar

tanah runtuh Bukit Setiawangsa 1Kejadian benteng runtuh di Bukit Setiawangsa berkemungkinan besar disebabkan penggunaan kaedah perlindungan cerun yang tidak sesuai digunakan untuk jenis bukit, menurut pakar.

Prof Madya Dr Tajul Anuar Jamaluddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata benteng yang digunakan untuk melindungi cerun yang dikenali sebagai dinding “shotcrete” menghalang air daripada memasuki tanah.

“Bagaimanapun, air masih boleh meresap ke dalam cerun melalui kawasan-kawasan yang tidak dilindungi benteng tetapi benteng itu juga menghalang air daripada mengalir keluar.

“Dalam erti kata lain, air boleh mengalir masuk tetapi tidak mengalir keluar.

“Apabila ini berlaku, tekanan air bawah tanah meningkat dan akan memecahkan benteng serta menyebabkan tanah runtuh,” katanya ketika dihubungi.

Dr Tajul yang mengajar geologi, berkata dinding ‘shotcrete’ juga tidak berkesan dipasang pada batu ‘metamorphic’ di Bukit Setiawangsa kerana ia tidak cukup kuat.

“Perlindungan cerun yang sesuai untuk batuan seperti itu haruslah sesuatu yang telap air dengan jejaring dawai dinding yang mempunyai kekuatan tegangan tinggi.

“Kaedah ini membolehkan air meresap dan mengalir keluar dan tumbuh-tumbuhan boleh tumbuh untuk mencegah hakisan,” katanya.

Dr Tajul berkata penggunaan dinding ‘shotcrete’ yang tidak wajar digunakan pada tempatnya adalah perkara biasa di Malaysia.

“Benteng ‘shotcrete’ sepatutnya hanya digunakan untuk cerun granit yang kukuh.

“Walau bagaimanapun, ia biasa digunakan kerana harganya tiga hingga empat kali lebih murah daripada benteng dinding telap,” kata Dr Tajul.

Beliau menambah cerun Bukit Setiawangsa dipotong terlalu tinggi dan curam pada 60° dan rumah-rumah dibina terlalu dekat dengannya.

Pakar pembangunan tanah Dr Tew Kia Hui berkata dinding ‘shotcrete’ direka untuk mencegah hakisan tetapi tidak boleh dibina di kawasan-kawasan dengan bentuk muka bumi tidak stabil.

“Benteng tersebut tidak dapat menahan beban berat di atas tanah, “katanya.

++++++

88 Keluarga Di Bukit Setiawangsa Diarah Pindah

88 keluarga yang menghuni kediaman di Puncak Setiawangsa, ibu negara, diarah berpindah serta mengosongkan kediaman masing-masing berikutan masih berlaku pergerakan tanah yang aktif susulan kejadian tanah runtuh malam tadi.

Ini kerana keadaan dikhuatiri tidak selamat dan boleh membahayakan keselamatan penduduk.

Penduduk yang diarah berpindah membabitkan 30 pemilik rumah banglo dan 58 pemilik rumah teres dua tingkat.

Kesemua penghuni di Jalan Bukit Setiawangsa dan Jalan Puncak Setiawangsa 2 itu diarah berpindah selepas Institut Kerja Raya Malaysia, IKRAM mengesahkan pergerakan tanah masih berlaku di kawasan tersebut.

Bagi memudahkan penduduk, sebuah bilik gerakan polis sementara dibuka di kawasan kejadian.

Setakat ini, seramai 49 penghuni telah berdaftar dan mereka yang belum berbuat demikian dinasihatkan segera mendaftar untuk memudahkan pihak polis membuat pemantauan.

Sebuah pusat pemindahan sementara di Dewan Orang Ramai Setiawangsa juga telah dibuka.

Dalam kejadian 10 malam semalam, sebuah banglo terjejas teruk manakala dua lagi banglo milik Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Zulhasnan Rafique dan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis mengalami rekahan tanah.

Berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here