32.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, October 31, 2020

Jonker Walk: Antara Penjaja Dan Pengguna Jalan Raya

jonker-walk

jonker-walk

Ketika ini, tiada apa yang tidak terlepas daripada dijadikan isu politik.

Keputusan membuka Jalan Hang Jebat yang menempatkan pasar lambak Jonker Walk kepada kenderaan menjadi polemik seolah-olah kawasan tarikan pelancong itu akan ditutup buat selama-lamanya.

Isu itu turut diperbesarkan pembangkang kononnya kerajaan negeri Melaka ingin membalas dendam terhadap kaum Cina yang mendominasi perniagaan Jonker Walk kerana tidak menyokong Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Walhal, kerajaan negeri pada mesyuarat Exco 12 Jun lepas hanya membuat keputusan membuka laluan itu kepada kenderaan bagi melihat kelancaran aliran trafik sekitar kawasan itu terutama pada hujung minggu.

Namun, perancangan kerajaan negeri itu tidak dapat dilaksanakan pada masa ini ekoran bantahan kira-kira 300 peniaga yang turut mengadakan demonstrasi aman pada 28 Jun lepas.

Tinjauan mendapati para peniaga masih menjalankan aktiviti seperti biasa tanpa ada sebuah pun kenderaan melalui jalan itu.


Seorang penjual barangan mainan kanak-kanak ketika ditemui memberikan alasan jalan tersebut terlalu sempit untuk dilalui kenderaan dan pasti menyukarkan peniaga dan pengunjung.

Seorang peniaga cenderahati ‘fridge magnet’ pula mempersoal mengapakah isu kesesakan lalu-lintas yang ditimbulkan kerana kawasan itu beroperasi sejak sekian lama tanpa sebarang masalah.

Jonker Walk yang dibuka pada tahun 2000 diilhamkan Ketua Menteri Melaka ketika itu Datuk Seri Mohd Ali Rustam bertujuan membantu kaum Cina berpendapatan rendah menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan selain memajukan kawasan berkenaan.

Mohd Ali kemudian melantik bekas ‘Mr Asia’ dan ahli politik Datuk Gan Boon Leong sebagai Pengerusi Jawatankuasa Jonker Walk, namun projek berkenaan ditentang pemimpin DAP yang mempersoalkan niat kerajaan membantu penjaja sebaliknya mengabaikan kepentingan pengguna jalan raya yang melalui jalan itu.

Jawatankuasa Jonker Walk bagaimanapun meneruskan projek berkenaan sehingga kawasan itu kini bukan sahaja dikunjungi rakyat negara ini malah terkenal di kalangan pelancong asing.

Namun, menurut anak Boon Leong, Datuk Gan Tian Loo, pada awal pembukaan Jonker Walk, hanya lima penjaja bersetuju menjalankan perniagaan di situ manakala masyarakat Cina yang lain tidak begitu yakin dengan projek berkenaan.

Beliau berkata ayahnya juga terpaksa mengeluarkan duit sendiri sebagai bantuan awal kepada penjaja untuk menjalankan perniagaan.

“Penjaja tersebut masih berniaga sehingga ke hari ini, malah bersama kira-kira 300 penjaja lain yang mencari rezeki untuk keluarga mereka,” katanya ketika ditemui.

Mungkin disebabkan populariti Jonker Walk yang menawarkan pelbagai bentuk cenderahati kepada pelancong dengan harga berpatutan, kawasan itu sering kali dilimpahi pengunjung setiap kali dibuka dari Jumaat hingga Ahad bermula 6 petang hingga 12 malam.


Konflik khususnya terhadap pengguna jalan raya mula timbul dengan pembangunan dan kemajuan Melaka yang menerima kunjungan pelancong dalam dan luar negara dengan tahun lepas sahaja seramai 13 juta orang mengunjungi negeri bersejarah itu.

Lantas, pengunjung terutama yang ingin ke Banda Hilir yang menempatkan antaranya bangunan Stadthuys, Menara Taming Sari dan bebarapa buah pusat beli-belah sering kali merungut dengan kesesakan lalu-lintas yang terpaksa ditempuhi mereka.

Penutupan Jalan Hang Jebat dikatakan antara penyumbang kesesakan di jalan sekitar laluan ke Banda Hilir.

Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Pembangunan Pantai dan Pulau-Pulau negeri Melaka Datuk Ghazale Mohamad berkata kerajaan melalui Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan memantau aliran trafik selama empat minggu bagi mengenal pasti punca kesesakan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata sekiranya pemantauan mendapati kesesakan lalu-lintas bukan berpunca daripada penutupan laluan Jonker Walk, kerajaan negeri akan menutup semula dan membenarkan peniaga menjalankan perniagaan mereka seperti biasa. Katanya kerajaan negeri merancang untuk menempatkan peniaga yang terlibat di tiga lorong berhampiran Jalan Hang Jebat yang telah dikenal pasti MBMB tanpa menutup mana-mana gerai sedia ada.

“Kita akan membina gerai berbumbung lutsinar untuk keselesaan peniaga-peniaga selain mencantikkan lagi pemandangan,” katanya.

Ghazale berkata penempatan itu juga tidak akan menjejaskan kehadiran pelancong kerana peniaga secara asasnya masih berada di sekitar kawasan pelancongan itu.

Justeru katanya peniaga digesa memberikan kerjasama agar pemantauan aliran trafik dapat dijalankan dengan segera.

“Perkara ini harus mendapat kerjasama peniaga agar keputusan untuk membuka atau menutup jalan dapat diputuskan segera selain mengenal pasti punca kesesakan di kawasan tersebut,” katanya.


Katanya kerajaan negeri tidak berniat untuk menganiaya peniaga dan perkara itu tidak perlu dikaitkan dengan isu perkauman atau politik.

Sementara itu, Tian Loo yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Jonker Walk berkata pihaknya akan menemui Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron bagi mencari jalan penyelesaian ‘menang-menang’ berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

Beliau berkata para peniaga yang keseluruhannya daripada golongan berpendapatan rendah bimbang periuk nasi mereka terjejas dengan pembukaan laluan tersebut pada kenderaan.

Katanya para peniaga bagaimanapun bersetuju menyerahkan kepada Jawatankuasa Jonker Walk bagi menyelesaikan masalah itu ketika pertemuan pada 1 Julai lepas.

“Mereka juga sebulat suara meminta parti politik supaya tidak campur tangan dan mengambil kesempatan dalam hal ini kerana ia berkaitan punca rezeki mereka dan bukannya atas alasan politik,” katanya.

Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Anggota Parlimen Kota Melaka Sim Tong Him ketika demonstrasi pada 28 Jun lepas dilihat mengambil kesempatan mengutuk tindakan kerajaan negeri yang kononnya sengaja mengganggu peniaga kaum Cina di kawasan itu.

Berita Berkaitan

Sanggah campur tangan Agong, UMANY serlah kebiadaban

Tindakan University of Malaya Association of New Youth (UMANY) mempersoal Yang di-Pertuan Agong (YDPA),...

Siapa di belakang portal MalaysiaNow

Nama seperti Malaysiakini, Malaysia Today, Malaysia Insight memang sudah dikenali. Sekarang timbul nama baru, MalaysiaNow....

Polis tahan Ronnie Liu, siasat kes hina Agong

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pelek Ronnie Liu...

Tak perlu isytihar darurat, kata Agong

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, tiada keperluan mengisytiharkan darurat di...

Komen

..