Jual murtabak mi segera atas ‘Kancil’

BATANG KALI – Kreativiti seorang peniaga memasak murtabak megi di belakang kereta Kancil 660cc yang diubah suai menarik perhatian pengunjung Bazar Ramadan JRD di sini.

Bekas pemandu lori, Yahya Che’an, 65, berkata, dia berniaga murtabak itu secara sambilan sejak 30 tahun lalu dan sepenuh masa bermula pada 2012 bagi membesarkan enam anak.

Menurutnya, terdahulu dia dan isteri, Noraini Abdullah, 60, menggunakan meja lipat dan gerai bergerak berdekatan sebuah stesen minyak di Batang Kali.

“Saya beli kereta Kancil ini dari seorang rakan dan ubah suai untuk permudahkan kerja sebab tak perlu buka meja atau gerai.

Yahya Che’an, 65, mengakui pengubahsuaian itu bukan sahaja memudahkan kerja malah turut menjimatkan wang, lapor Sinar Harian.

“Dulu waktu muda pernah usahakan bengkel sekejap maka masih ada peralatan untuk memotong bahagian belakang kereta dan dijadikan tempat memasak.

“Semua ubah suai saya buat sendiri dan baru dua tahun guna kereta ini untuk berniaga yang memang menjimatkan tenaga serta masa,” katanya.

Bagaimanapun, kenderaan tersebut tidak dipandu secara harian tetapi hanya digunakan untuk berniaga.


Comments (No)

Leave a Reply