Jumlah dagangan meningkat kepada RM1.13 trilion – Matrade - pakdin.my

logo-matradeJumlah perdagangan Malaysia antara bulan Januari dan Oktober tahun ini mengukuh 3.4 peratus kepada RM1.13 trilion daripada RM1.09 trilion dalam tempoh yang sama tahun lepas, demikian menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Wong Lai Sum berkata eksport naik 0.9 peratus kepada RM591.83 bilion dan import meningkat 6.3 peratus kepada RM540.38 bilion, berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“Kami mengunjurkan nilai perdagangan akan melepasi jumlah tahun lepas menjelang akhir tahun dengan mengambil kira permintaan dan iklim ekonomi dunia,” kata beliau dalam taklimat media mengenai Aktiviti Promosi Perdagangan 2014 Matrade di sini hari ini.

Seiring dengan hasrat Matrade mempercepatkan pertumbuhan eksport Malaysia tahun depan, Matrade telah merancang 147 aktiviti promosi perdagangan, kata beliau.

“Ini terdiri daripada penyertaan dalam pameran perdagangan, misi pemasaran khusus, misi belian, aktiviti promosi bersama dan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia, Pameran Perkhidmatan Malaysia dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia,” kata Wong.

Wong berkata satu daripada inisiatif baharu Matrade yang akan dilaksanakan pada 2014 ialah program GoEX berimpak tinggi.

Program itu bertujuan meningkatkan daya saing dan sumbangan eksport dan pengantarabangsaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi pasaran.

“Program ini juga bertujuan mempunyai 50 PKS yang telah bersedia untuk mengeksport dan seterusnya merancakkan eksport sebanyak 30 peratus setiap tahun dengan lima pembeli baharu diwujudkan untuk setiap syarikat di setiap pasaran.

Beliau berkata ini adalah seiring dengan objektif kerajaan untuk memastikan PKS menyumbang 40 peratus kepada keluaran dalam negara kasar dan 20 peratus kepada eksport menjelang 2020.

Sektor industri yang akan diliputi oleh aktiviti promosi perdagangan termasuklah minyak dan gas, penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih, elektrik dan elektronik, teknologi komunikasi maklumat, kimia dan produk kimia, peralatan pengangkutan, logistik, peranti perubatan, bahan bangunan, mesin, gaya hidup, biotek dan produk halal dan perkhidmatan, makanan diproses, pembinaan dan perkhidmatan profesional dan perkhidmatan perniagaan.

Beliau berkata Matrade akan turut menganjurkan acara antarabangsa di Malaysia seperti Persidangan Teknologi Luar Pesisir Asia, dan Persidangan Perniagaan Aeroangkasa dan Pertahanan Antarabangsa Kuala Lumpur tahun hadapan.

“Lebih 60 peratus daripada program promosi ialah di Asia kerana dijangkakan rantau ini akan terus menjadi kuasa ekonomi global untuk meningkatkan pertumbuhan perdagangan.

“Sejumlah 36 program atau 29 peratus daripada aktiviti perdagangan ialah di ASEAN,” katanya.

UTAMAEKONOMIJumlah dagangan meningkat kepada RM1.13 trilion - Matrade

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium