Jumlah pelajar Selangor dijangkiti influenza meningkat

Seramai 245 pelajar daripada 105 sekolah di Selangor dijangkiti Influenza A, meningkat berbanding 231 pelajar di 97 sekolah sebelum ini.

Pengarah Pendidikan Selangor, Dr Mahanom Mat Sam, berkata setakat jam 9 pagi tadi, Klang masih mencatat jumlah tertinggi pelajar dijangkiti penyakit itu membabitkan 97 orang daripada 35 sekolah.

Petaling Perdana pula mencatat 53 kes daripada 27 sekolah, Petaling Utama (23 kes, 10 sekolah), Sepang (30 kes, tujuh sekolah), Kuala Langat (13 kes, enam sekolah), Gombak (11 kes, lapan sekolah), Kuala Selangor (tujuh kes, enam sekolah), Hulu Langat (enam kes, tiga sekolah) dan Hulu Selangor (lima kes, dua sekolah).

“Semua kes dilaporkan sudah menerima rawatan di klinik dan hospital berhampiran serta dilaporkan stabil. Pelajar terbabit diberi cuti rehat dan dinasihatkan untuk dikuarantin di rumah selama tempoh tiga hingga tujuh hari.

“Ada juga pesakit menerima rawatan di wad dan dipantau yang sudah dibenarkan pulang. Data berkenaan diperoleh daripada Pejabat Pendidikan Daerah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Mahanom berkata, tiada sekolah atau kelas di negeri ini ditutup susulan penularan virus itu, namun pengurusan sekolah diminta cakna dan mengingatkan murid supaya mengawasi kesihatan masing-masing.

“Pejabat Kesihatan Daerah sudah menjalankan langkah pencegahan dan mitigasi di semua sekolah yang dikategorikan Influenza-Like Illness (ILI).

“Hingga kini, 15 sekolah sudah dijalankan mitigasi dan nyahkuman secara menyeluruh. Proses ini akan diteruskan di 10 lagi sekolah yang terbabit,” katanya.