Kabinet tolak tindakan boikot barangan bukan Islam - pakdin.my

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini tidak bersetuju dengan gesaan beberapa pihak agar memboikot barangan keluaran bukan Islam di negara ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat jemaah menteri yang dipengerusikan beliau hari ini.

“Jemaah Menteri menolak pemikiran dan pendirian sempit berasaskan sentimen perkauman yang cuba dimainkan oleh pihak tertentu kerana ia boleh menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan negara.

“Sebaliknya rakyat diseru untuk menyokong kempen beli barangan buatan Malaysia kerana ia akan memberi kebaikan kepada negara,” demikian menurut satu kenyataan daripada Jabatan Perdana Menteri hari ini.

Dalam pada itu, kenyataan itu juga berkata kempen ke arah itu adalah satu tindakan yang tidak wajar kepada negara.

“Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada hari ini (Rabu, 4 September 2019), yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, bersetuju bahawa usaha memboikot barangan keluaran pengusaha bukan Islam di negara ini adalah sangat tidak wajar,” kata kenyataan itu lagi.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa pengguna Islam melakukan kempen memboikot produk perniagaan keluaran peniaga bukan Islam.

Guan Eng pada Ahad lalu berkata dalam kenyataannya mahu UMNO dan Pas membantu menghentikan kempen memboikot produk bukan bumiputera kerana gerakan itu tidak menguntungkan dan boleh menggugat perpaduan negara.

Katanya, kempen itu bukan hanya akan menjejaskan perpaduan negara tetapi boleh menyebabkan pengguna memboikot produk yang lebih baik dan murah.

Malah, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyifatkan kempen memboikot barangan bukan Islam sebagai satu langkah yang tidak sihat.

“Kalau mahu promosikan produk halal, itu boleh diterima. Tapi kalau mahu promosikan kempen yang boleh menimbulkan pertengkaran semacam ini, isu-isu antara kaum, ia tak sihat,” katanya.

Akhir-akhir ini, kempen seperti memboikot barangan bukan Islam dan kempen menyokong produk keluaran Muslim (Buy Muslim First) semakin kencang di media sosial. -MalaysiaGazette

UTAMABERITAKabinet tolak tindakan boikot barangan bukan Islam

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium