Kalah di #PRKKimanis tanda Warisan hilang sokongan akar umbi – PBS

21
Pengerusi BN Sabah, Datuk Bung Mokhtar Radin, Ongkili, Mohamad, Ahmad Zahid, Dr Wee, Pairin dan Anifah semasa berkempen di PRK Kimanis | pakdin.my

KOTA KINABALU: Kekalahan Warisan dalam pilihan raya kecil Kimanis menandakan parti itu kehilangan sokongan akar umbi, kata Parti Bersatu Sabah (PBS) hari ini.

Presiden PBS Maximus Ongkili berkata, kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Mohamad Alamin “sememangnya” merupakan “tamparan besar” serta pembuka mata kepada kerajaan negeri itu yang diterajui oleh Warisan.

Beliau memuji pengundi di Kimanis atas keberanian kebijaksanaan dan keazaman untuk mengundi menolak parti kerajaan.

Keputusan PRK itu menunjukkan pengundi Sabah tidak boleh dipandang mudah, selain membuktikan mereka “tidak boleh dibeli sama ada dengan wang, hadiah atau janji”.

“Kita berharap mereka (Warisan) menyedari bahawa mereka kehilangan sokongan akar umbi Sabah susulan janji yang tidak ditepati dan dasar yang membahayakan rakyat, terutama pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS),” kata Ongkili.

Katanya, pengundi Kimanis telah bersuara dan mereka mewakili seluruh rakyat Sabah yang menolak pelaksanaan rancangan kontroversi PSS, yang menyaksikan pendatang yang tinggal di negeri itu diberikan pas tersebut bagi menggantikan 3 dokumen pengenalan diri sebelum ini.

“Kemenangan ini bukan sahaja meyakinkan, tetapi juga manis susulan penggunaan pelbagai taktik dan tekanan oleh kerajaan Pakatan Harapan-Warisan, termasuk ancaman dan pemberian hadiah.

“Selain itu, ia juga memanipulasi berita dan melemparkan pelbagai tuduhan terhadap pembangkang,” kata Ongkili.

Pada PRK Kimanis hari ini, calon BN Mohamad Alamin mendapat 12,706 undi mengalahkan calon Warisan Karim Bujang yang memperoleh 10,677 undi, dengan majoriti jelas sebanyak 2,029 undi.

BN merampas semula kerusi berkenaan setelah keputusan pilihan raya umum 2018 dibatalkan oleh Mahkamah Pilhan Raya berikutan satu petisyen difailkan oleh Karim yang kalah tipis ketika itu.