Sunday - July 25, 2021 @ 20:05
POLITIKKalimah Allah: PAS Gagal Mengubah Pendirian Rasmi PR

Kalimah Allah: PAS Gagal Mengubah Pendirian Rasmi PR

hadi-awang-karpal-singhMursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam kenyataan media pada 17 Januari 2013 berpendapat isu kalimah Allah s.w.t telah pun selesai berikutan keputusan Majlis Syura Ulama PAS empat hari sebelumnya menolak penggunaan kalimah suci itu dalam kitab Bible versi Bahasa Melayu.

Jika Menteri Besar Kelantan itu terus beranggapan sedemikian, namun realiti semasa tidak pun memihak kepada kehendaknya itu sementelah lagi Pakatan Rakyat (PR) tetap utuh dengan pendirian rasminya yang dicapai pada 8 Januari 2013.

Masih segar dalam ingatan ramai, pada tarikh tersebut PR yang turut dianggotai PAS selepas selesai mesyuarat Majlis Pimpinan gabungan itu telah sebulat suara bersetuju membenarkan kalimah suci Allah s.w.t diguna pakai dalam kitab Bible.

Malah sehari selepas PR memuktamadkan pendirian mereka, Nik Aziz sendiri menyatakan sokongan terbuka sambil menyifatkan keputusan PR itu akan membuka ruang dakwah Islam kepada penganut agama lain.

Paling penting, persetujuan PR itu juga adalah penegasan ulangan bagi keputusan bersama yang pernah mereka capai pada tahun 2010 yang bukan sahaja disokong oleh PAS, tetapi juga turut dukungan kuat daripada Nik Aziz.

Walaupun sekarang PAS cuba menonjolkan pendirian baru parti itu dengan bersandarkan keputusan rasmi dari Majlis Syura Ulama PAS pada 13 Januari 2013, hakikatnya ia tidak pun mengubah pendirian rasmi PR.

Ini bermakna gesaan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang berterusan mendesak PAS mematuhi persetujuan bersama sebelum ini mempunyai merit yang tidak boleh dipertikaikan kerana selagi PAS kekal bersama PR, selagi itulah PAS perlu patuh pada keputusan yang telah menjadi dasar rasmi PR.

“PR adalah sebuah organisasi yang besar (dianggotai DAP dan PKR) manakala Majlis Syura hanya terdiri daripada Pas. Saya kesal dengan kenyataan itu. Isu ini belum selesai dan DAP tetap dengan pendiriannya,” demikian kata pemimpin veteran DAP itu sekaligus menafikan kenyataan awal oleh Mursyidul Am PAS.

Apa yang diperkatakan oleh Karpal itu memang benar. Soal Majlis Syura Ulama PAS telah membuat pendirian berbeza dengan PR tidak pun menjejaskan dasar PR yang secara rasminya telah menyokong penggunaan kalimah suci Allah s.w.t oleh orang bukan Islam untuk dimasukkan dalam kitab Bible.

Disebabkan berpegang teguh pada asas itulah hingga saat ini PR kekal dengan pendirian asalnya, tidak tergugat dengan tindakan drastik PAS yang telah mengubah pendiriannya. Sekaligus membuktikan keputusan Majlis Syura Ulama PAS tidak memberi sebarang impak dalam menentukan hala tuju gabungan tersebut.

Justeru itu, Nik Aziz mahupun PAS sendiri tidak layak untuk mendabik dada mengumumkan isu kalimah Allah s.w.t telah selesai sepenuhnya. Dan dalam tempoh singkat menjelang PRU 13 ini, isu kesucian kalimah Allah s.w.t yang cuba dinodai PR akan terus menghantui PAS.

isu kalimah allah lge

kalimah allah nik aziz setuju

isu kalimah allah nik aziz akur majlis syura

isu kalimah allah selesai

isu kalimah belum selesai

Berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here