Kanak-kanak 2 tahun tercampak dari kereta di Lebuhraya PLUS

4
Rakaman video menunjukkan seorang kanak-kanak tercampak dari kereta.

SEREMBAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun nyaris maut selepas tercampak keluar daripada kenderaan yang dinaiki bersama keluarga yang hilang kawalan selepas dihimpit sebuah kenderaan, dalam kejadian di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran Senawang, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Ibrahim Mohd Abdul Kadir berkata kanak-kanak yang mengalami kecederaan di lutut, lengan serta kepala itu sedang dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira pukul 3.21 petang di KM 235.5 itu, kanak-kanak itu tercampak keluar daripada kenderaan akibat pelanggaran dengan sebuah Perodua Myvi yang dipandu secara merbahaya.

“Dalam kejadian itu, suspek yang memandu Perodua Myvi memandu di lorong kiri secara merbahaya. Ia kemudian menghimpit sebuah kenderaan Honda jazz yang memandu di lorong kanan sebelum menukar kembali laluan di lorong kiri.

“Suspek kemudiannya kembali memasuki lorong kanan dengan menghimpit kenderaan Honda Civic menyebabkan pemandu kenderaan itu hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan di tengah lebuhraya sebelum melanggar bahagian belakang Perodua Myvi berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hari ini, rakaman video kejadian berkenaan yang berdurasi 59 saat, tular di media sosial Facebook dan mendapat perhatian ramai netizen.

Ibrahim berkata polis mengenal pasti 2 kenderaan yang dipandu secara merbahaya dalam kejadian itu dan tindakan ke atas mereka akan diambil mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu Ibrahim berkata pemandu Perodua Myvi yang dipercayai menghimpit kenderaan berkenaan, ditahan di Batu Berendam, Melaka, kira-kira pukul 4.50 petang tadi.

“Kita akan mohon perintah reman di Mahkamah Rembau esok untuk meneruskan siasatan. Bagaimana pun pemandu Honda Jazz iaitu seorang lelaki berusia 23 tahun juga telah tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau, hari ini.

“Siasatan akan diteruskan,” katanya.