Kebakaran HSA: Telefon bimbit dicas bukan punca terbakar

JOHOR BAHRU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor hari ini menafikan kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) berpunca daripada telefon bimbit dicas seperti tersebar di media sosial.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Johor, Mohd Rizal Buang berkata, punca sebenar kebakaran itu belum dikenal pasti kerana siasatan masih dijalankan.

Beliau berkata, pasukannya masih menjalankan siasatan dan mengumpul bukti di lokasi kejadian untuk dibawa ke makmal ibu pejabat JBPM negeri, selain merekod dan menemu bual saksi kejadian.

“Saya sendiri yang mengetuai operasi itu…saksi memberitahu kebakaran berpunca dari bilik rawatan. Bilik rawatan cuma ada peti ais yang menempatkan ubat-ubatan…itu sahaja yang kita nampak di lokasi itu,” katanya ketika ditemui di HSA, hari ini.

Mohd Rizal berkata, pihaknya menyerahkan kepada HSA untuk mengambil tindakan lanjut selepas pemantauan tingkat 1 yang ditutup sementara akibat percikan api semalam, didapati tiada bahaya yang boleh menyebabkan kebakaran.

Namun, katanya, pasukan bomba sentiasa ditempatkan di HSA ketika operasi pembersihan dijalankan.

Dalam pada itu, Mohd Rizal menyarankan semua bangunan, terutamanya bangunan lama menjalani pemeriksaan tahap keselamatan serta menaik taraf sistem keselamatan.

“Bangunan lama memang kita nasihatkan (diperiksa) kerana boleh mendatangkan masalah. Jika bangunan lama dan dibina menggunakan kayu sepenuhnya, itu memang agak risiko,” katanya yang turut menyarankan bangunan lama dinaik taraf menggunakan bahan tidak mudah terbakar, pemasangan sistem keselamatan kebakaran, sama ada sistem pasif atau aktif.

20161025-hispital-sultanah-aminah-terbakar

12 KOMEN

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini