Kecenderungan Anjur Acara Pelik Bertujuan Tarik Perhatian Ramai, Kata Pakar Psikologi

I Want To Touch A DogKecenderungan sesetengah indivividu menganjurkan dan menyertai acara-acara ‘pelik’ sejak kebelakangan ini disifatkan sebagai golongan manusia manusia yang ‘dahagakan’ penghargaan dan perhatian daripada masyarakat dan pemimpin, kata seorang pakar psikologi.

Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA) Prof Madya Dr Rozmi Ismail berkata penganjuran pelbagai acara seperti ‘I Want To Touch A Dog’, ‘Oktober Fest’, ‘Man in Heels’ merupakan usaha sekelompok individu yang cuba mendapatkan penghargaan, penyokong, dan pengiktirafan daripada masyarakat bahawa mereka adalah seorang yang aktif memulakan sesuatu perubahan budaya.

“Akhirnya budaya Asia lama-lama jadi bahaya, benda-benda baharu menghasilkan apa yang kita panggil kebimbangan dan tekanan sosial, maknanya setengah golongan itu menganggap benda ini, iaitu apa yang disebut orang sebagai tidak berapa sihat,” katanya.

Beliau berkata kebimbangan sosial merupakan kebimbangan sesetengah golongan terhadap tindakan pihak lain yang dianggap cuba mengganggu hak eksklusif kelompok tertentu seperti mencabar budaya dan menghakis kepercayaan yang sekian lama dipraktikkan.

“Tekanan sosial pula ialah kegelisahan dalam masyarakat akibat sesuatu isu seperti tuduh-menuduh dan melemparkan fitnah serta saling menyalahkan satu sama lain,” katanya.

Rozmi turut menyarankan agar pihak berkuasa mendidik masyarakat agar tidak terlalu bersifat liberal dan salah faham akan konsep kebebasan.

“Terlalu bebas atas nama kebebasan tak boleh juga. Apa makna kebebasan seperti itu yang sampai ke tahap seperti ini. Pemimpin perlu memberi perhatian terhadap perkara seperti ini agar ia tidak menjadi polemik masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Pakar Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Muhammad Muhsin berkata apabila seseorang itu bergerak bertentangan daripada penerimaan masyarakat sebenarnya, ia disebabkan mereka mempunyai niat tertentu yang mahu ditonjolkan.

“Contohnya, mereka yang bertindak sedemikian ingin menunjukkan kelainan dan nak tunjuk mereka yang pertama ubah corak pemikiran masyarakat, ingin mencabar kedudukan sesuatu serta antisosial, bertentangan dengan kepercayaan masyarakat,” katanya.

Katanya kaedah digunakan mereka bagi mendapatkan perhatian dibuat dengan cara yang tidak sesuai serta menimbulkan implikasi negatif.

“Perkara yang telah diterima sekarang dia telah sebati, seimbang dengan keadaan setempat tersebut dan pertukaran budaya boleh menimbulkan ketidakseimbangan masyarakat, sosial, dan agama,”katanya.

Ahad lalu, penganjuran acara ‘I Want To Touch A Dog’ (Saya Mahu Sentuh Anjing) berlangsung di Central Park, One Utama dekat Petaling Jaya apabila umat Islam menyertai acara bermesra dan bermain dengan anjing yang dibawa peserta bukan Islam.

Terbaru, sebuah portal berita kelmarin melaporkan NGO wanita akan menganjurkan kempen White Ribbon Campaign:Run and Walk 2014, Disember depan yang turut melibatkan acara ‘Men in Heels’ yang menyaksikan golongan lelaki berjalan menggunakan kasut bertumit tinggi.

Berkaitan