Kedah tidak lagi luluskan lesen perjudian – Menteri Besar #pakdin.my

ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah memutuskan untuk tidak lagi meluluskan lesen perjudian kepada mana-mana premis perjudian di negeri ini, bagi memastikan Kedah bebas daripada aktiviti tersebut pada masa akan datang.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata menerusi Mesyuarat Khas Exco Kerajaan Negeri minggu lepas, semua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini tidak akan memperbaharui lesen premis perjudian sedia ada.

“Perjudian adalah punca kepada banyak kerosakan dan keruntuhan tamadun khususnya keruntuhan institusi keluarga. Ramai orang yang terlibat dengan perjudian ini akan dibelit hutang dan memporak-perandakan keluarga serta masyarakat kita.

“Kerajaan mengambil tanggungjawab untuk memastikan Kedah bebas judi, (jadi) di bawah bidang kuasa PBT, kita memutuskan untuk tidak lagi memberi sebarang kelulusan lesen premis perjudian,” katanya dalam sidang media selepas membentangkan Bajet Kedah 2022, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini.

Menurut beliau, perjudian mendatangkan mudarat yang sangat besar kepada mereka yang terlibat, sedangkan hanya segelintir sahaja yang mendapat manfaat daripada aktiviti itu iaitu operator perjudian atau ‘tauke judi’.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya tidak mengambil tindakan menutup premis perjudian sedia ada, tetapi tidak akan memperbaharui lesen perjudian yang sekali gus menyebabkan pengusaha premis tidak dapat beroperasi, selepas lesen mereka tamat tempoh.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri juga membuat keputusan untuk mengehadkan penjualan minuman keras secara terbuka di negeri itu, terutama di kawasan-kawasan yang tidak mendapat permintaan seperti luar bandar.

Menurut beliau pihaknya menyerahkan kepada PBT untuk melaksanakan perkara berkenaan, dengan memastikan hanya pengguna bukan Islam sahaja yang boleh membeli minuman itu.

“Di kawasan PBT yang tidak ada permintaan, khususnya di PBT luar bandar, premis-premis penjualan minuman keras, arak dihadkan. Pihak PBT kena perhati tengoklah, macam di Sik tidak ada keperluan,” katanya. – BERNAMA

 

SourceBERNAMA

Berkaitan