24.1 C
Kuala Lumpur
Wednesday, January 20, 2021

Kedudukan Malaysia Lebih Baik Berbanding Negara Pengeluar Minyak Lain – Penganalisis

minyak-mentah-brent

Kedudukan kewangan Malaysia jauh lebih baik berbanding negara-negara pengeluar lain seperti Venezuela, Nigeria, Iran dan Rusia yang pendapatannya terjejas teruk akibat kejatuhan harga minyak mentah.

Ekonomi yang pelbagai, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta rasionalisasi subsidi telah membantu menyediakan sejumlah sumbangan untuk mengimbangi pendapatan, kata pakar ekonomi.

Permintaan dalam negeri cergas, ditambah pula dengan pelaburan swasta yang lebih besar di dalam negara dan sumbangan daripada sektor pembuatan, pembinaan, pertanian dan juga perkhidmatan termasuk pelancongan turut memberi sumbangan kepada pendapatan negara, kata mereka.

Bank Dunia berkata Malaysia adalah sebuah negara dengan pergantungan terhad kepada eksport komoditi bahan api berbanding negara-negara lain seperti Algeria, Kuwait, Sudan dan Venezuela yang eksport merupakan pada atau melebihi 80 peratus.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata penurunan harga minyak mempunyai kesan yang besar kepada pengeluar minyak utama seperti Arab Saudi yang bergantung kepada petroleum sebanyak 70 peratus daripada pendapatannya serta Nigeria, pengeluar minyak terbesar di Afrika.

Bagaimanapun, Malaysia tidak lagi menjadi pengeluar minyak utama dengan usaha kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan kepada hasil minyak.


Negara telah beralih lebih ke arah hasil bukan minyak dengan pelaksanaan GST, antara lain, membantu untuk sedikit sebanyak mengurangkan kesan ketidaktentuan harga minyak.

“Kita akan terjejas tetapi tidak seteruk yang lain,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Minyak mentah Brent, penanda aras global bagi minyak mentah, turun tiga peratus kepada US$30.43 setong pada Selasa daripada hari sebelumnya, paras terendah sejak April 2004.

Petronas dilaporkan menganggarkan harga minyak boleh mencapai purata US$30 setong tahun ini dan akan menjadi sukar bagi syarikat minyak dalam dua hingga tiga tahun lagi.

Nazri Khan berkata sumbangan hasil minyak turun kepada 20 peratus di bawah pentadbiran semasa daripada setinggi 40 peratus pada pentadbiran sebelumnya.

GST adalah contoh utama yang bukan sahaja memperkenalkan dasar pragmatik tetapi suatu yang tepat pada masanya bagi cukai penggunaan secara meluas itu dalam membantu mengurangkan pergantungan Malaysia ke atas dividen Petronas dan hasil berkaitan petroleum.

Kutipan GST dijangka meningkat kepada RM39 bilion pada 2016 daripada RM27 bilion antara April 2015, apabila dilaksanakan, dan Oktober 2015 apabila Bajet 2016 dibentangkan.

Ini berbeza dengan sumbangan daripada Petronas dan sektor-sektor berkaitan minyak yang dijangka merosot kepada RM31.7 bilion pada 2016 daripada RM44 bilion pada 2015.

Seorang pakar ekonomi dari MIDF Research berkata peratusan hasil berkaitan minyak kepada hasil keseluruhan kerajaan dijangka menyusut lagi kepada 14 peratus tahun ini daripada anggaran 20 peratus pada 2015.

Meskipun penurunan dalam hasil berkaitan minyak, beliau berkata defisit fiskal negara tidak akan terjejas banyak, berikutan usaha berterusan kerajaan untuk menjadi kurang bergantung kepada hasil minyak.

“Jika kerajaan gagal untuk mengurangkan pergantungan kepada harga minyak, kedudukan fiskal dan pasaran kewangan kita akan berada dalam keadaan yang lebih teruk sekarang.

“Malaysia akan mengalami kekurangan pendapatan sebanyak kira-kira RM36 bilion pada 2016, yang boleh diterjemahkan kepada defisit fiskal sebanyak kira-kira 6.1 peratus,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata, kerajaan telah berjaya mengurangkan pergantungannya kepada minyak ke arah sumber hasil yang lebih pelbagai dan stabil, dengan itu membantu ekonomi daripada terjejas banyak berikutan kejatuhan harga minyak mentah.

Bagi GST, beliau berkata MIDF Research menganggarkan ia dapat menyumbang pendapatan tambahan sebanyak RM20.5 bilion bagi tahun ini.

Hasil akan kekal sama di bawah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Beliau berkata, hasil cukai tambahan membantu mengurangkan kesan hasil minyak lebih rendah yang diperoleh tahun lepas.

“Jika tidak kerana pelaksanaan GST, Malaysia berpotensi melihat defisit fiskal yang lebih tinggi pada 2015 dan 2016,” katanya.

Nazri Khan juga bersetuju dengan langkah kerajaan untuk mengubah suai Bajet 2016 yang beliau berpendapat sebagai perkara biasa di negara-negara lain kerana pendapatan berkurangan disebabkan oleh kejatuhan harga minyak.

Beliau berkata pelarasan bermakna andaian sebelum ini yang harga minyak pada US$48 setong tidak lagi dapat dipertahankan dan perubahan yang tepat perlu dibuat.


Perdana Menteri telah mengumumkan akan mengubah suai bajet pada minggu lepas untuk mencerminkan keadaan realistik cabaran global termasuk kelembapan ekonomi di China dan kejatuhan harga minyak.

Mengakui cabaran berkenaan sebagai di luar kawalan kerajaan, Najib berkata pengubahsuaian bajet itu merupakan pendekatan pragmatik oleh kerajaan untuk memastikan perbelanjaan lebih tepat.

Pengubahsuaian berkenaan akan melibatkan, antara lain, langkah-langkah untuk mengoptimumkan perbelanjaan dan merangsang permintaan dalam negeri serta peranan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan untuk melabur lebih banyak dalam negara.

Sementara itu, Maybank Investment Bank, dalam satu nota penyelidikannya hari ini berkata industri minyak dan gas negara lebih kukuh sekarang berbanding tahun lepas memandangkan peserta telah menyesuaikan kedudukan dengan persekitaran harga minyak yang rendah melalui rasionalisasi kos, disiplin modal dan pengawalan aliran tunai.

Ia berkata pengurangan kos dan aliran tunai berhemat kekal menjadi inisiatif utama pemain industri tahun ini manakala daya tahan kewangan menjadi kualiti yang diberi perhatian dalam keadaan semasa.

“Pemulihan sepenuhnya masih jauh tetapi imbangan risiko secara keseluruhan telah bertambah baik,” katanya.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.