Wednesday - August 4, 2021 @ 00:49
NASIONALSABAHKekuatan Pasukan Keselamatan Diperkukuh Hadapi Taktik Guerilla Warfare

Kekuatan Pasukan Keselamatan Diperkukuh Hadapi Taktik Guerilla Warfare

ops_daulat-lautKUALA LUMPUR, 13 Mac  — Sehari selepas dua anggota tentera terkorban dalam Operasi Daulat, Panglima Angkatan Tentera mengumumkan penambahan kekuatan aset untuk membanteras penceroboh militan di Lahad Datu, Sabah.

Dengan keyakinan Operasi Daulat akan dapat diselesaikan secepat mungkin, Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata 12 kereta perisai berantai, beberapa helikopter Pasukan Udara Tentera Darat dan kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan ditempatkan secara berperingkat di kawasan itu.

Langkah itu dibuat serentak dengan kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan pasukan keselamatan berhadapan dengan ‘guerilla warfare’.

Ahmad Zahid berkata musuh adalah kumpulan militan yang terlatih dan menggunakan taktik penembak tepat dalam berhadapan dengan pasukan keselamatan.

“Pertambahan ini untuk meyakinkan rakyat bahawa kami mempunyai keupayaan dan kemampuan untuk menewaskan musuh,” kata Zulkifeli.

Pasukan keselamatan melancarkan serangan ofensif terhadap kumpulan militan dari Sulu pada 5 Mac selepas beberapa siri rundingan dengan kumpulan yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu sejak 12 Feb lepas gagal.

Dalam tempoh itu, 10 anggota pasukan keselamatan terkorban iaitu lapan anggota polis dan dua tentera, manakala sembilan anggota pasukan keselamatan cedera.

Sehingga pukul 5.30 petang, pasukan keselamatan menembak mati 58 musuh dengan 29 daripada mayat musuh itu telah dikeluarkan dari kawasan zon merah.

Pasukan keselamatan turut menahan 97 individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan militan itu manakala 156 orang lagi ditahan kerana berada dalam kawasan larangan.

Selaras dengan langkah pasukan tentera itu, Polis Diraja Malaysia turut mengumumkan penambahan anggota dan pewujudan pos kawalan di sekitar Felda Sahabat dan kawasan Operasi Daulat.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata pos kawalan itu juga melibatkan kawasan dari Lahad Datu ke Felda Sahabat, laluan pengganas dan kawasan penempatan awam bagi menambah keyakinan rakyat terhadap tahap keselamatan.

Polis akan memanfaatkan sumber manusia dalam menambah bilangan secara berperingkat dengan menggunakan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah, Narkotik dan lain-lain jabatan, katanya.

Sementara itu, Ismail mengesahkan remaja yang ditembak mati dalam operasi di Tanjung Batu, Ahad lepas mempunyai kaitan dengan kumpulan penceroboh dan lelaki yang cedera dalam kejadian itu adalah bapa remaja berkenaan.

Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis Negara turut melahirkan penghargaan terhadap pengorbanan pasukan keselamatan dan menyifatkan kematian anggota pasukan keselamatan di medan pertempuran itu akan meningkatkan iltizam anggota keselamatan untuk terus berjuang menjaga kedaulatan negara.

Berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here