Kemalangan di Behrang: Kempunan beraya kereta baru.

Saiful (kiri) dan Muhammad Hanif melihat keadaan kereta Iswara yang mereka naiki

Hasrat seorang penuntut sebuah kolej dekat sini untuk pulang beraya dengan kenderaan yang baru  diambil dari keluarganya tidak kesampaian setelah terbabit dengan kemalangan awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 12.25 pagi itu, kereta Proton Iswara dinaiki Saiful Amirul Abdul Rahim, 19, bersama rakannya, Muhammad Hanif Ismail, 19, terbabas setelah cuba mengelak kereta yang secara tiba-tiba membrek di hadapannya.

Menurut Saiful, mereka dalam perjalanan pulang ke rumah sewa di Sungai Behrang selepas bermain futsal di Tanjung Malim.

“Ketika tiba dekat persimpangan Plaza Tol Behrang, sebuah kereta Suzuki Swift dipandu seorang wanita mengekori rapat di belakang kami tetapi setelah kereta itu memintas secara tiba-tiba dia membrek.

“Saya cuba mengelak melanggarnya tetapi gagal dan terbabas ke kiri jalan lalu melanggar besi pengadang jalan dan berpusing sebelum terhenti di bahagian tengah pembahagi jalan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Saiful berkata, dia mengalami kecederaan bibir kanan akibat terhantuk pada stereng sementara rakannya tidak mengalami kecederaan.

Sementara itu, Muhammad Hanif berkata, Saiful baru saja mengambil kereta tersebut dari kampung di Pulau Pinang pada Ahad lalu dan bercadang menggunakannya untuk balik bercuti menyambut Aidilfitri.

Katanya yang mengambil jurusan Mekatronik Semester 3, kejadian itu cukup mencemaskan dan jika Saiful gagal mengelak berkemungkinan mereka jatuh ke gaung.

“Saiful bertindak memutar stereng ke kanan selepas melanggar besi pengadang jalan kerana menyedari terdapat gaung di bawah.

“Nasib baik dia bertindak pantas jika tidak tak tahulah bagaimana nasib kami,” katanya yang berasal dari Johor.

Berkaitan