Kementerian Kesihatan sahkan 61 kes keracunan memakan laksa

Kementerian Kesihatan mengesahkan 61 kes keracunan makanan termasuk dua mangsa meninggal dunia selepas dilaporkan memakan laksa yang dibeli di sebuah gerai di Kupang, Baling, minggu lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah itu, 16 kes dilaporkan di Hulu Perak, Grik, dengan dua kematian; 24 kes di Kedah iaitu 16 kes dari daerah Baling, lima kes di Sik dan tiga di Kulim serta 21 kes di Hulu Langat, Selangor.

Katanya, pertambahan 42 kes baharu dilaporkan sehingga kini (14 kes di Kedah, 7 di Perak dan 21 kes di Selangor) dan siasatan mendapati pesakit terbabit memakan laksa yang dibeli dari premis yang sama seperti dilaporkan dalam kes membabitkan 19 pesakit terdahulu.

“Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah sudah menjalankan pemeriksaan terperinci terhadap premis terbabit dan siasatan mendapati, ramuan laksa yang dijual tidak ada kaitan dengan Iceberg Lettuce seperti yang viral di media sosial.

“Kita masih menunggu keputusan daripada sampel makanan yang sudah dihantar ke makmal untuk analisis.
“Selain itu, sampel najis daripada dua kes keracunan makanan di Baling adalah positif Salmonella spp,” katanya dalam satu kenyataan, Selasa.

Beliau berkata, seramai 21 pesakit dirawat sebagai pesakit dalam iaitu lima di Hospital Grik, lima (di Hospital Pantai Sungai Petani, empat di Hospital Baling, tiga di Hospital Sik, tiga di Pusat Perubatan UKM (PPUKM) dan seorang di Hospital Columbia Asia.

Selebihnya, seramai 38 pesakit dirawat sebagai pesakit luar dan semua pesakit dilaporkan dalam keadaan stabil manakala jumlah kematian kekal pada dua kematian setakat ini.

Dr Noor Hisham turut menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan rawatan segera jika mengalami gejala keracunan makanan.

(Visited 3 times, 1 visits today)

Artikel berkaitan

One Reply to “Kementerian Kesihatan sahkan 61 kes keracunan memakan laksa”

Comments are closed.