25 C
Kuala Lumpur
Saturday, January 16, 2021

Kenaikan gaji penjawat awam Julai bukti kerajaan tak muflis @NajibRazak

Perlaksanaan kenaikan gaji penjawat awam bermula Julai depan membuktikan kerajaan hari ini menunaikan janji yang dibuat, sekaligus menolak tohmahan beberapa pihak mengenai kedudukan kewangan kerajaan yang disifatkan tidak stabil dan cekap.

Mengumumkan kenaikan satu tangga gaji itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata tuduhan negara bakal berdepan dengan masalah muflis adalah tidak berasas sama sekali, sebaliknya kerajaan tetap komited dalam usaha menjaga kepentingan rakyat.

“Meskipun berdepan tohmahan dan pelbagai fitnah, terutamanya berkenaan keadaan kewangan kerajaan dan negara, malah ada yang berkata kita akan jatuh muflis dan sebagainya, kerajaan tetap meletakkan kepentingan dan kebajikan rakyat sebagai yang paling utama.

“Insya-Allah, bermula bulan Julai 2016, kenaikan satu tangga gaji dan gaji minimum RM1,200 kepada penjawat-penjawat awam seluruh negara akan mula dilaksanakan sepertimana yang telah saya umumkan dalam Bajet 2016 yang lalu,” kata Najib.

Beliau berkata demikian melalui salah satu entrinya di laman Facebook miliknya pada Khamis.

Najib yang juga Menteri Kewangan amat berterima kasih dan menghargai komitmen yang ditunjukkan penjawat awam selama ini dan berharap dengan kenaikan tersebut memberi semangat baru kepada penjawat awam.

“Usaha dan kerja keras penjawat-penjawat awam amat kerajaan hargai dan saya harap dengan bantuan ini akan terus membakar semangat semua penjawat awam untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan negara dengan cemerlang, Insya-Allah,” katanya.

Pada pembentangan Bajet 2016 tahun lalu, Najib mengumumkan kerajaan telah bersetuju memberi faedah pemindahan gaji bersamaan satu kenaikan gaji tahunan mengikut gred bermula Julai 2016.

Kenaikan gaji tersebut akan memberi manfaat kepada kira-kira 1.6 juta penjawat awam dengan peruntukan RM1.1 bilion.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.