Kenaikan Tambang Bantu Pemandu Teksi Hadapi Kos Sara Hidup - pakdin.my

tambang-teksi

Kenaikan tambang pengangkutan awam baru-baru ini menimbulkan keresahan di kalangan pengguna kemudahan itu, apatah lagi dengan kos sara hidup yang kian meningkat dan berhadapan dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) sejak 1 April lepas.

Antara persoalan yang timbul, apakah rasional kenaikan kadar tambang dan adakah ia mampu menambah baik kualiti perkhidmatan pengangkutan itu di negara ini?

Adakah kenaikan itu berupaya menangani beberapa permasalahan berkaitan perkhidmatan teksi seperti yang tidak menggunakan meter atau ‘teksi potong’, enggan menghantar penumpang ke kawasan tertentu serta warga asing sebagai pemandu, sama ada mempunyai permit sah atau tidak?

Pada 19 Mac lepas, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengumumkan tambang teksi dan kereta sewa dibenarkan naik antara 20 hingga 67 peratus berkuat kuasa serta-merta. Tambang bas ekspres akan naik 22.6 peratus mulai 15 Mei.

Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar berkata penyelarasan kadar tambang itu dibuat selepas mengambil kira keperluan pihak pengusaha yang terbeban dengan kenaikan harga barang dan kos penyelenggaraan, serta kepentingan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan itu.

KOS SARA HIDUP

Di bawah semakan kadar tambang itu, kadar caj permulaan teksi bajet kekal pada RM3 manakala caj mengikut kadar jarak dan kadar masa naik 25 sen bagi setiap 200 meter (m) dan 25 sen bagi setiap 36 saat. Sebelum ini, kadarnya adalah 10 sen bagi setiap 115m dan 10 sen bagi setiap 21 saat.

Kenaikan kadar tambang ini bagaimanapun tidak melibatkan teksi lapangan terbang, eksekutif dan premier.

Bagi teksi 1Malaysia atau TEKS1M, yang menggunakan model Proton Exora, caj permulaan tambang meningkat kepada RM4 daripada kadar sebelumnya RM3, manakala caj mengikut kadar jarak dan kadar masa naik ke 30 setiap 200m dan 50 sen setiap minit daripada 10 sen bagi setiap 115 m dan 28 sen setiap minit sebelum ini.

Apakah kenaikan tambang itu memberi impak besar kepada pemandu teksi dan mampu membantu golongan berkenaan yang turut berhadapan masalah peningkatan kos sara hidup seperti pengguna lain?

Tinjauan perkhidmatan teksi di sekitar bandar raya dan mendapatkan pandangan pemandu serta pengguna teksi baru-baru ini.

Seorang pemandu teksi eksekutif (teksi biru) yang ditemui di sekitar pusat membeli-belah Pavilion, Mohd Hafiz Abd Wahab, 37, berkata meskipun berlaku kenaikan tambang melibatkan teksi bandar atau teksi bajet, ia bukanlah suatu jumlah yang besar dan mampu mengatasi masalah kos sara hidup sekarang.

“Dengar tambang teksi naik memang ‘sedap’ (seronok), tetapi teksi biru tak naik. Saya berpendapat biarlah kadar kenaikan itu berpatutan bukan sahaja untuk pengguna tetapi juga kepada kami pemandu teksi.

“Meskipun ada kenaikan tapi dengan kadar sebegitu, cukup ke kami nak bayar rumah sewa RM700, beli makan, pakai, beli susu anak, kadang-kadang nak bayar sewa teksi pun tak lepas,” katanya.

Sewa bagi teksi bandar atau teksi bajet yang beroperasi di sekitar Lembah Klang adalah sekitar RM50 hingga RM60 sehari, manakala bagi teksi biru yang beroperasi di seluruh semenanjung adalah RM100 sehari.

Mohd Hafiz, yang berpengalaman selama 10 tahun sebagai pemandu teksi, berkata kadar itu belum mengambil kira syarikat teksi yang menaikkan kadar sewa teksi kepada pemandu apabila CBP diperkenalkan.

“Apabila CBP dilaksanakan, kerajaan mengenakan caj tambahan kepada syarikat dan syarikat pula akan caj kepada pemandu dengan menaikkan kadar sewa sekitar RM5 atau RM6 sehari. Ini secara langsung akan menambahkan kos pemandu teksi,” katanya.

Bersetuju dengan perkara itu, Mohd Ridhuwan Yusoff, 27, berkata kenaikan tambang teksi tidak memberi impak besar kepada beliau ekoran kos penyelenggaraan teksi yang turut naik di samping berhadapan kenaikan harga barang.

“Kami bukan tamak, kami fikir tentang kos sedia ada dan kos penyelenggaraan yang mahal. Kalau boleh naiklah lebih sedikit (lebih 25 sen). Kami pun ada anak isteri, sewa rumah, duit makan, duit sewa teksi, duit permit dan satu bulan saya anggarkan kena cari RM5,000 untuk tampung semua itu,” katanya yang memandu teksi bajet jenis Proton Waja.

SELARASKAN KENAIKAN

Jamal Nasir, 55, berpendapat kenaikan harga tambang teksi wajar diselaraskan agar tidak timbul isu layanan berbeza oleh pihak tertentu terutama SPAD.

“Teksi bajet biasa mula RM3, gerak 200 meter naik 25 sen. Teksi 1Malaysia teksi bajet juga, kenapa mula RM4 dan gerak 200 meter naik 30 sen? Teksi biru (tiada kenaikan tambang) mula RM6 dan gerak 200 meter naik 20 sen.

“Mengapa tiada penyelarasan daripada segi kenaikan tambang atau meter?,” soal Jamal, yang juga bekas Setiausaha Persatuan Pemandu Teksi Bukit Bintang.

Beliau turut menyentuh mengenai perkhidmatan bas percuma ‘GoKL’ yang disediakan kerajaan, menyumbang kepada persaingan dan kekurangan penumpang.

“Jika sebelum ini teksi akan membawa penumpang terutama pelancong ke KLCC, Chinatown dan Central Market, perkhidmatan bas percuma ini menjejaskan pendapatan kami kerana pelancong sudah pasti memilih yang percuma berbanding yang kena bayar,” hujahnya.

LUPUS TEKSI LAMA

Mengenai kualiti perkhidmatan teksi, Mohd Ridhuwan berkata teksi lama yang masih beroperasi wajar dilupuskan bagi menjaga kualiti perkhidmatan teksi selaras dengan kenaikan tambang yang dikenakan kepada penumpang.

“Masih banyak teksi lama seperti Proton Saga dan Wira yang beroperasi. Teksi seperti itu wajar dilupuskan dan diwujudkan standard dari bawah seperti Waja, Sedan, Exora, Persona dan Innova. Barulah imej teksi kita baik dan harga yang dibayar berbaloi.

“Jika teksi cabuk dan buruk, mereka tidak fikir soal ‘maintenance’, jauh sekali nak jaga kualiti untuk keselesaan penumpang sebab teksi mereka dah habis bayar. Yang penting mereka dapat duit bila penumpang naik,” katanya.

Mohd Ridhuwan berkata persaingan kini bukan sahaja daripada kalangan teksi biasa tetapi kemunculan perkhidmatan ‘GrabCar’, Uber, perkhidmatan bas rapid KL dan GoKL yang menawarkan perkhidmatan lebih murah dan percuma.

MASALAH PELANCONG

Seorang pesara kerajaan yang menjadi pemandu teksi, Anuar Omar, 60, berkata beliau menyokong penuh tindakan kerajaan mewajibkan setiap teksi menggunakan meter.

Namun, masalah timbul apabila pelancong enggan membayar menggunakan harga meter sebaliknya meletak harga tertentu mengikut kehendak mereka selain tidak mahu membayar caj lain seperti tol dan tempat letak kereta.

“Saya berterima kasih apabila kerajaan bertindak menaikkan harga tambang teksi… kerajaan dah banyak tolong kita tetapi pelancong yang masih tak faham. Contohnya, pergi Genting Highlands mereka tak mau guna meter, tapi kalau dekat-dekat nak guna meter.

“Sebagai pemandu teksi, kita kena ambil juga sebab nanti langsung tak ada penumpang sebab persaingan banyak. Orang kita (tempatan) apa yang saya lihat tiada masalah walaupun tambang naik, kalau ada pun beberapa orang sahaja sebab mereka terkesan dengan kenaikan kos sara hidup sekarang,” katanya.

Pendapat beliau dikongsi Mohd Hafiz yang turut berhadapan masalah sama.

“Majoriti pelancong tak nak guna meter apabila pergi tempat jauh contohnya masuk bandar Melaka. Kalau ikut meter seharian pergi Melaka kita boleh dapat RM700-RM800 tapi pelanggan tak nak guna meter dan cuma bayar kita RM400-RM450 sahaja. Jadi, nak tak nak kita ambillah juga daripada tak dapat penumpang,” katanya.

PATUHI UNDANG-UNDANG

A. Victor, 41, yang ditemui di Jalan Sultan Ismail berkata setiap pemandu teksi perlu mematuhi undang-undang dan menggunakan meter bagi mengelak dikenakan tindakan oleh SPAD.

“Jauh ke dekat ke, tetap guna meter… sekarang kalau tak pakai meter SPAD tangkap, teksi kena tarik, sewa tetap kena bayar, mampu ke? Pemandu teksi bukan banyak duit.

“Kita bayar sewa teksi sehari RM50-RM55… kalau kita rajin, lebih banyak rezeki dan penumpang kita boleh dapat. Isu tambang naik tidak menjejaskan kita kerana masih ramai orang mahu guna teksi,” katanya yang berpuas hati dengan kadar tambang baharu itu.

Victor berkata di hotel atau di pusat membeli-belah biasanya disediakan perkhidmatan teksi, namun ada pihak tidak bertanggungjawab akan menggunakan teksi tanpa meter untuk mengaut keuntungan secara mudah sekaligus menutup peluang teksi di luar hotel atau pusat membeli-belah.

“Biasanya, di hotel akan ada perkhidmatan teksi eksekutif. Namun, terdapat pihak yang mengambil kesempatan menahan mana-mana teksi potong dan membuat rundingan harga dengan teksi tersebut.

“Contohnya, mereka ‘deal’ kalau mahu penumpang, teksi potong kena bayar RM20 kepada mereka, kemudian baru boleh ambil penumpang dan caj pada harga RM80,” katanya sambil menunjukkan kejadian yang berlaku di KLCC apabila terdapat deretan teksi eksekutif menunggu penumpang tetapi ada ‘individu’ bertindak menahan teksi potong untuk penumpang.

Berkongsi pengalaman, Fuadi Maswari, 46, berkata tindakan pemandu teksi yang enggan menggunakan meter biasanya bertujuan mendapatkan keuntungan lebih secara mudah.

Bapa kepada dua orang anak yang berasal dari Indonesia ini, berstatus penduduk tetap telah menetap di Malaysia selama 25 tahun dan memandu teksi sejak 13 tahun lepas.

KENAIKAN BERI KESAN

Seorang pengguna teksi, Rashidi Rahim, 28, berkata beliau mengakui ‘terasa’ dengan kenaikan tambang baharu.

“Sebelum ni kalau naik tiap beep (pergerakan meter) 10 sen, tapi sekarang sekali beep 25 sen… Saya selalu naik teksi sebab tu saya bandingkan dan memang terasa. Sebelum ini dari rumah saya di Pantai Dalam ke Mid Valley tambang dalam RM6 lebih, tapi sejak tambang naik, jadi RM8 lebih.

“Kalau cakap tentang perkhidmatan, sama sahaja, kualiti teksi pun sama tak ada lah semua naik taraf jadi BLM (Saga BLM), ada je teksi Proton dulu-dulu,” katanya.

Mengakui kebanyakan pemandu teksi yang ditemui bersikap ramah dan menyenangkan, Rashidi tidak menafikan terdapat segelintir mereka yang menipu bacaan meter, mengakibatkan penumpang terpaksa membayar lebih ke destinasi sama.

Beliau berharap perkhidmatan teksi di negara ini dapat ditambah baik, dan mengutamakan kualiti dan tahap kebersihannya.

Rashidi berkata penting bagi penumpang untuk mencatat nombor plat teksi atau butiran pada kad teksi (biasanya dipamerkan dalam teksi) yang tertera nama pemandu dan nombor kad pengenalan pemandu bagi memudahkan jika sesuatu perkara tidak diingini berlaku.

UTAMABERITAKenaikan Tambang Bantu Pemandu Teksi Hadapi Kos Sara Hidup

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium