Kenaikan Tambang Pengangkutan Awam Tiada Kaitan Dengan CBP – Penganalisis - pakdin.my

SPAD

Persepsi masyarakat bahawa kenaikan kadar tambang pengangkutan awam berpunca daripada pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) yang berkuatkuasa 1 April ini adalah tidak tepat, demikian menurut seorang ahli akademik.

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Prof Dr Shazali Abu Mansor berkata masyarakat perlu sedar bahawa pihak pengusaha pengangkutan awam terpaksa menanggung kenaikan kos penyelenggaraan dan gaji pekerja.

“Secara realistik kenaikan tambang pengangkutan awam harus dinaikkan tetapi sudah tentu masyarakat pengguna tidak dapat menerima hal ini dengan terbuka.

“Tidak timbul langsung kenaikan tambang ini berpunca daripada CBP dan ia bukan satu alasan kukuh untuk pengguna mengeluh kerana kenaikan tambang pasti berlaku bergantung kepada keadaan ekonomi semasa,” katanya.

Beliau berkata penyelarasan kadar baharu itu bukan hanya memberi faedah kepada pengusaha pengangkutan awam sahaja bahkan bertujuan menjaga kebajikan mereka yang terlibat dalam sektor ini.

Khamis lepas, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar mengumumkan penyelarasan kadar tambang teksi dan kereta sewa dibenarkan naik antara 20 hingga 67 peratus berkuatkuasa serta-merta manakala mulai 15 Mei pula tambang bas ekspres dan rel akan naik 22.6 peratus. Kali terakhir semakan semula kadar tambang teksi dan bas ini adalah enam tahun lepas.

Pengumuman itu mendapat bantahan pengguna yang menyifatkan kenaikan itu tidak wajar berikutan pelbagai beban kos sara hidup yang dihadapi masa ini.

Berikutan itu, Kabinet pada Jumaat lepas memutuskan bahawa pelaksanaan tambang baharu perkhidmatan bas ekspres dan rel ditunda hingga ke suatu tarikh yang belum ditetapkan.

Sehubungan itu, Shazali berkata pemberian permit secara terus kepada pemandu teksi yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam dapat mengurangkan penglibatan ‘orang tengah’ yang memiliki permit individu sedangkan mereka tidak bekerja sebagai pemandu teksi sebaliknya hanya menyewakan teksi mereka.

“Contohnya, pemandu teksi ini bekerja lebih 12 jam sehari memandu teksi maka banyak kos yang perlu ditanggung oleh mereka termasuk membayar sewa teksi, menyelenggara dan memperbaiki kenderaan,” katanya.

Beliau berkata pengangkutan awam di negara ini perlu diperhebatkan daripada aspek perkhidmatan dan kualiti.

Sementara itu, pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata masyarakat mesti bijak membuat pertimbangan maklumat berhubung isu kenaikan tambang pengangkutan awam dan tidak terpengaruh dengan segala bentuk maklumat yang mengaitkannya dengan CBP.

“Justeru penjelasan yang tepat dan benar dapat membantu pengguna untuk lebih memahami kepentingan pelaksanaan kadar baharu ini dan segala maklumat penting harus disebarkan secara menyeluruh kepada masyarakat.

“Jika kadar tambang dinaikkan, bermakna pengguna juga berhak mendapatkan perkhidmatan dan layanan terbaik semasa menggunakan pengangkutan awam,” katanya.

UTAMAKenaikan Tambang Pengangkutan Awam Tiada Kaitan Dengan CBP - Penganalisis

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium