Kenapa projek kereta terbang masih diutamakan? — Nicole Wong

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang bertegas mahu melaksanakan projek kereta terbang membuktikan bahawa mereka langsung tidak mengutamakan kepentingan rakyat.

Negara dibelenggu masalah ekonomi, Bank Dunia telah menurunkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalaman Negara Kasar (KDNK) negara kepada 4.6 peratus daripada 4.7 peratus pada April lepas, ditambah pula dengan pelaksanaan pelbagai cukai baru seperti cukai minuman bergula dan levi penumpang yang turut membebankan rakyat.

Ketua Eksekutif AirAsia Group Tony Fernandes juga mendakwa negara kita terlalu banyak cukai sehingga pelancong ke Malaysia dikenakan cukai berlebihan.

Namun, kerajaan PH seakan tidak mengendahkan semua rintihan ini, dan masih degil meneruskan projek yang bakal membazirkan sumber negara, seperti kereta terbang.

Kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Redzuan Yusof yang mengumumkan bahawa prototaip projek kereta terbang akan didedahkan pada Oktober ini menerima kritikan pelbagai pihak.

Jika PH memang kerajaan untuk semua rakyat, mereka akan akur kepada bantahan yang dibuat majoriti rakyat, dan membiarkan projek kereta terbang ini sebagai inisiatif swasta, dan langsung tidak akan campur tangan.

Sejurus itu, ini juga bermaksud bahawa projek kereta terbang tidak boleh diberikan kepada mana-mana syarikat milik kerajaan, seperti yang dibuat dalam projek kereta nasional ketiga apabila ada desas-desus bahawa projek tersebut mungkin akan dianugerahkan kepada SilTerra Malaysia Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional.

Prinsip ketelusan juga harus ditekankan, dan kerajaan wajib mengumumkan nama-nama syarikat yang bertanggungjawab membangunkan projek kereta terbang.

Ini akan membolehkan rakyat menilai jika projek tersebut dianugerahkan kepada kroni-kroni PH seperti yang dibuat dengan pemberian kontrak kerajaan kepada syarikat milik anak Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, iaitu Opcom dan Petron.

* Nicole Wong Siaw Ting adalah Ketua Pemuda MCA

18 KOMEN