Kenapa tidak minta hapuskan tulisan Jawi pada produk makanan? 

DAP, Gabungan Jawatankuasa Sekolah-Sekolah Cina (Dong Zong) dan penentang-penentang tulisan Jawi ditempelak kerana hanya menentang pengenalan tulisan tersebut di peringkat sekolah tetapi bukan pada pembungkusan makanan.

Jelas sekali penolakan dan bantahan ini kelihatan tidak selari dengan tindakan pihak yang mengambil kesempatan menggunakan tulisan Jawi pada produk makanan demi mengaut keuntungan ke atas pengguna Islam.

“Mengapa Dong Zong dan penentang-penentang tulisan khat Jawi tidak menentang dan meminta kerajaan menghapuskan tulisan Jawi yang digunakan dalam produk-produk makanan.

“Apakah mereka tidak khuatir bahawa ramai orang bukan Islam akan terpengaruh dengan tulisan Jawi pada produk makanan?, soal Ketua Penerangan Pas Melaka, Bakri Jamaluddin.

Tindak-tanduk anti kepada tulisan Jawi ini, katanya, bukanlah disebabkan oleh sentimen anti budaya Melayu, tetapi lebih kepada sikap rasis dan sentimen anti Islam.

Menurut beliau, apabila merasakan tulisan Jawi ada nilai komersil, mereka akan menggunakannya seperti di dalam produk-produk makanan yang majoritinya dimiliki oleh orang-orang bukan Islam terutamanya kaum Cina.

Beliau turut yang turut mempertikaikan tindakan Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi baru-baru ini yang menggunakan tulisan Jawi untuk contoh penggunaan buku lucah pada zaman dahulu.

Soalnya lagi: “Apakah tulisan menggunakan abjad-abjad lain termasuk abjad Cina tidak pernah digunakan di dalam penulisan buku-buku lucah bukan sahaja zaman dahulu, bahkan berlaku juga zaman ini? Mengapa harus tulisan Jawi menjadi bahan momokan oleh YB DAP Kluang?”.

Oleh itu, Bakri menegaskan DAP harus membuang sikap rasis sepenuhnya kalau ingin melihat perpaduan kaum di negara ini dipertingkatkan.

Sama ada DAP setuju atau tidak, rakyat Malaysia hari ini merasakan ketegangan kaum semakin bertambah di bawah Kerajaan Malaysia Baharu, yang mana DAP adalah sebahagian dari tunjang Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, DAP dan Dong Zong sepatutnya berterima kasih kepada orang Melayu apabila penggunaan tulisan Jawi dihapuskan pada tahun 1966 kerana pada ketika itu tidak ada orang Melayu yang lantang membantah kerana menganggapnya sebagai suatu pengorbanan demi menghargai kaum Cina dan India.

Menurutnya, toleransi Melayu ini sentiasa konsisten dan ia terbukti lagi apabila diwujudkan pula sekolah vernakular dengan penggunaan bahasa masing-masing dan situasi ini sangat berbeza apabila kerajaan memuktamadkan penggunaan tulisan Jawi bagi mata pelajaran bahasa Melayu Tahun Empat yang mencetuskan pelbagai reaksi negatif pemimpin DAP dan gabungan itu khususnya, katanya.

“Orang-orang Melayu sangat toleransi sehingga tidak pernah mempertikaikan pengunaan abjad Cina dan kewujudan sekolah-sekolah vernakular di negara ini.

“Apakah bila orang-orang Melayu mempertahankan pengajaran tulisan khat Jawi di SRJK(C) dan SRJK (T) dianggap sebagai rasis dan mereka yang mempertahankan sekolah-sekolah vernakular itu tidak rasis?

“Saya tidak fikir orang-orang Melayu akan menentang sekiranya mata pelajaran tulisan abjad Cina diperkenalkan di sekolah-sekolah kebangsaan, bahkan orang Melayu akan berterima kasih kerana dapat belajar satu lagi bahasa,” ujar beliau. 

Loading...