Kenyataan Aziz Bari ‘Sultan Boleh Lantik Bukan Melayu Jadi MB’ Dipertikai - pakdin.my

aziz-bari-dap-mb-bukan-melayu

Kenyataan ahli DAP, Dr Abdul Aziz Bari bahawa Sultan boleh melantik bukan Melayu menjadi Menteri Besar (MB) dipertikaikan ramai pihak.

“Amat mengejutkan bila tokoh yang disangkakan pakar undang-undang mengeluarkan pendapatnya yang mengatakan Sultan boleh lantik bukan Melayu menjadi MB. Memang Sultan boleh lantik sesiapa yang dikehendakinya jadi MB jika sesebuah negeri ditadbir tanpa undang-undang atau ditadbir secara kuku besi.

“Setakat ini, Raja-raja Melayu tidak bertindak sedemikian. Raja-raja Melayu masih mengikut undang-undang yang sedia ada dan waras ketika melantik Menteri Besar serta mengikut undang-undang tubuh setiap negeri dengan baik. Cuma, mereka yang di katakan tokoh undang-undang kononnya cuba mengemukakan pendapat seolah-olah dari mereka yang nyayuk.

Apabila akal telah sampai ke tahap ini semua pendapat pakar tersebut perlu ditolak. Pakar dalam apa-apa bidang sekalipun jika akal telah sampai ke tahap ini semuanya akan ditolak walaupun amat terkenal dalam bidang masing masing sebelum ini,”kata Ustaz Sharipudin Ab Kadir, Yang Dipertua Majlis Syura ISMA.

Ustaz Sharipudin (foto) mempersoalkan motif kenyataan Aziz Bari yang dibimbangi mempunyai kepentingan dengan penyertaannya dalam DAP.

Tambahan pula kenyataan Aziz itu dikeluarkan selepas beliau dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa DAP Selangor.

“Kenapa setelah bersama DAP pendapatnya agak berbeza dari sebelumnya. Bercakap berdasarkan kepada kepakaran atau mencari habuan besar dari DAP. Saya merasakan bahawa DAP pun tidak akan meletakkan individu ini sebagai tokoh harapan atau pimpinan penting dalam organisasi kepimpinan DAP kerana mentalitinya terlalu rendah dan dayus. Individu ini hanya mengharapkan habuan yang besar dalam perjuangan bukannya pengorbanan.

“Pimpinan DAP tidak sebodoh itu untuk mengharapkan jasa bakti daripada individu ini. Silap-silap langkah ianya menjadi bahan tertawa dalam pimpinan DAP yang sedia ada. Biasanya sifat manusia bila terdapat unsur terlalu memuji atau menyokong akan melahirkan rasa jijik dan jelik dari mereka yang dipuji.

“Tidak mustahil selepas ini akan keluar kenyataan baru dari individu ini untuk mendapatkan sesuatu dari DAP. Dia akan mencari ruang-ruang baru untuk mendapatkan kepercayaan dari pimpinan DAP,”katanya lagi

 

Sebelum ini, Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Datuk Dr Ramlah Adam menyelar kenyataan Aziz itu sebagai memberi harapan palsu kepada bukan Melayu di negara ini.

“Saya rasa ia boleh bingungkan rakyat. Menyebabkan orang yang tak usul periksa, orang yang tak membaca lebih mendalam boleh percaya dan ini akan beri harapan palsu kepada orang bukan Melayu.
“Mana mungkin sultan lantik menteri besar yang tak beragama Islam. Kalau dari segi logiknya. Macam mana menteri besar nak nasihatkan sultan tentang agama Islam kalau dia bukan beragama Islam?,” katanya kepada Free Malaysia Today.

Ramlah menjelaskan, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri jelas menyatakan bahawa syarat untuk menjadi menteri besar merupakan Melayu dan beragama Islam.

“Setiap negeri di Malaysia ini mempunyai undang-undang tubuh. Jadi undang-undang tubuh tu macam Selangor jelas, Perak jelas. . saya rasa semua negeri jelas bahawa menteri besar itu Melayu dan Islam.

“Jadi kalau dia (Aziz) kata sultan boleh lantik bukan Melayu (menjadi menteri besar) itu pendapat pertama kali saya dengar. Saya rasa ini sangat merbahaya. Memberi harapan sedangkan benda itu memang tidak wujud dalam setiap negeri.” katanya.

Sehubungan dengan itu, Ramlah mencadangkan agar Aziz menjelaskan kenyataan yang dibuat olehnya negeri manakah yang membenarkan orang bukan Melayu dan bukan Islam menjadi menteri besar.

“Kenyataan yang umum macam ini boleh memesongkan atau memberi interpretasi yang salah. Dia boleh menimbulkan imej yang buruk kepada Sultan sebab disesebuah negari, sultan adalah pelindung agama Islam dan ketua agama Islam,” jelasnya.

Pada Isnin, Aziz dilaporkan The Malaysian Insider berkata bukan Melayu boleh dilantik sebagai menteri besar kerana ia dibenarkan Perlembagaan yang jelas menyatakan mereka turut mempunyai hak asalkan memenuhi syarat ditetapkan.

Aziz berkata, mengikut Perlembagaan, dalam keadaan tertentu kelonggaran diberikan kepada Sultan untuk memilih calon menteri besar daripada kalangan bukan Melayu.

“Ya betul (lantik bukan menteri besar bukan Melayu) cuma kena tengok dalam konteks tertentu. Sebagai peruntukan umum memang orang Melayu saja boleh jadi menteri besar,” kata Aziz kepada portal itu.

“Tetapi yang nombor dua dalam Perlembagaan dinyatakan, untuk pastikan syarat dan kedudukan menteri besar dipenuhi, Sultan boleh mengetepikan peruntukan tersebut. Maknanya Sultan boleh lantik orang bukan Melayu,” katanya.

Aziz yang baru sahaja dipilih menjadi ahli jawatankuasa DAP Selangor menjelaskan, pelantikan bukan Melayu sebagai menteri besar boleh terjadi sekiranya tiada majoriti Melayu yang menyokong calon menteri besar dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Ataupun orang Melayu tidak ada dalam DUN selain mungkin orang Melayu itu tidak sesuai menjadi menteri besar.

“Ada pelbagai situasi dan maksudnya, kelonggaran diberikan kepada Sultan untuk melantik orang bukan Melayu,” katanya.

Semasa Konvesyen Tahunan DAP Selangor pada Ahad, Aziz yang hadir sebagai pemerhati menyatakan kekecewaannya apabila wujudnya kempen dalam PKR menolak calon menteri besar bukan Islam.

Aziz berkata, DAP kini begitu popular di kalangan anak muda Melayu walaupun parti itu ditolak oleh golongan yang berusia pertengahan.

UTAMAPOLITIKKenyataan Aziz Bari ‘Sultan Boleh Lantik Bukan Melayu Jadi MB’ Dipertikai

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium