Keputusan kes Peter Anthony 14 Disember - pakdin.my

Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 14 Disember ini bagi memutuskan sama ada bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony dibebaskan atau dipanggil membela diri terhadap pertuduhan berkaitan dokumen palsu berhubung kontrak penyelenggaraan sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Hakim Azura Alwi menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin yang mewakili pihak pendakwaan dan peguam Munawar Kabir Mohd. Zainal Abidin yang mewakili tertuduh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malalap.

Jika mahkamah memutuskan beliau membela diri, keterangan pihak pembelaan akan didengar selama lima hari berturut-turut bermula 3 Januari hingga 7 Januari tahun depan.

Sebelum itu, Munawar memaklumkan, pihaknya akan memanggil lapan saksi pembelaan memberi keterangan.

Wan Shaharuddin turut memohon agar pernyataan pembelaan diberikan kepada pihak pendakwaan dalam tempoh seminggu sebelum saksi-saksi memberi keterangan.

Mahkamah sedang mendengar penghujahan pada akhir kes pendakwaan terhadap Peter, 50, yang didakwa menggunakan dokuman palsu iaitu surat Pejabat Naib Canselor UMS kononnya UMS telah mengadakan kolaborasi dengan Syarikat Asli Jati Engineering Sdn. Bhd. (Asli Jati) milik tertuduh.

Peter sebagai Pengarah Urusan Asli Jati didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor (TNC) UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat menipu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun 2014 dan 21 Ogos 2014.

Beliau juga berdepan pertuduhan pilihan iaitu sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, menggunakan surat pejabat TNC UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan pernyataan palsu pada tajuk surat itu di tempat dan masa yang sama.

Pada perbicaraan lalu, mahkamah diberitahu bahawa kontrak penyelenggaraan sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) berkenaan tidak diberikan kepada Asli Jati milik Peter sebaliknya diberi kepada REMT Utama Sdn. Bhd. (REMT) melalui tender terbuka.

Bagaimanapun, satu surat lain bertarikh 9 Jun 2014 kemudian dikeluarkan oleh UMS tanpa kebenaran Naib Canselor yang mana tempoh penyelenggaraan telah dilanjutkan sehingga lima tahun.

Terdahulu, Wan Shaharuddin berhujah, dalam kes ini tertuduh telah mendapat keuntungan secara salah apabila projek itu diberikan kepada syarikatnya, Asli Jati menggunakan kepala surat UMS selepas beliau memohon kepada Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sambil menyifatkan Peter menggunakan taktik kotor, Wan Shaharuddin mempertikaikan mengapa surat permohonan itu tidak dihantar menggunakan kepala surat Asli Jati sebaliknya menggunakan kepala surat UMS.

Sebelum itu, Munawar turut berhujah, tiada bukti menunjukkan Peter telah melakukan kesalahan seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan.

Pembelaan berhujah, deraf surat sokongan yang didakwa disediakan di pejabat tertuduh tidak dapat dibuktikan kesahihannya kerana pihak pendakwaan tidak mengemukakan keterangan analisis forensik bagi mengaitkan tertuduh dengan pertuduhan.

UTAMABERITAKeputusan kes Peter Anthony 14 Disember

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium