Keputusan Majlis Syura Ulama PAS Perlu Dipatuhi – Nasharudin - pakdin.my

Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa
Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa

KUALA LUMPUR: Keputusan Majlis Syura Ulama PAS bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu adalah keputusan yang patut dipatuhi oleh semua anggota parti itu.

Bekas timbalan presiden PAS, Nasharudin Mat Isa berkata walaupun ada pendapat berbeza mengenai perkara itu sebelum ini di kalangan kepimpinan parti, ia adalah pandangan peribadi masing-masing.

“Apa yang dihasilkan pada Majlis Syura Ulama adalah keputusan yang bijak dan kena pada masanya. Apa yang diputuskan, kita harus berpegang kepada itu dan bukannya pandangan peribadi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang dipengerusikan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada Ahad yang memutuskan kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu.

Ditanya sama ada keputusan itu dibuat berikutan tekanan daripada pelbagai pihak, Nasharuddin yang secara peribadi tidak bersetuju dengan gesaan itu berkata beliau tidak pasti mengenainya.

Mengulas lanjut, Anggota Parlimen Bachok itu menegaskan Majlis Syura Ulama pastinya telah berbincang dan membuat pemerhatian yang teliti dalam beberapa aspek sebelum memutuskan sedemikian.

“…bukan sahaja pandangan politik dan tuntutan akidah untuk menjaga keharmonian Islam, tetapi dalam konteks masyarakat Malaysia itu sendiri. Memang tidak sesuai kalimah Allah digunakan oleh penganut agama lain,” katanya yang menjelaskan beliau tidak hadir pada mesyuarat itu kerana berada di luar negara.

Nik Abdul Aziz yang sebelum ini bersetuju dengan pemimpin DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya orang bukan Islam dibenarkan menggunakan kalimah Allah, semalam mengubah pendiriannya dan menyifatkan perkara itu sebagai mengarut.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu juga berbuat demikian malam tadi apabila bersetuju dengan keputusan Majlis Syura parti tersebut walaupun berpendapat sebaliknya sebelum ini.

Sementara itu, Majlis Perundingan Melayu (MPM) dalam satu kenyataan berkata pendirian tidak konsisten segelintir pemimpin PAS menampakkan kedangkalan kefahaman agama Islam di kalangan mereka.

Setiausaha Agung MPM Dr Hasan Mad berkata keterlanjuran PAS menggadaikan maruah agama Islam walaupun hanya untuk seketika, sudah cukup mengguris hati masyarakat Islam di negara ini sehingga ramai yang mula menjauhi parti itu.

“PAS terpaksa terima hakikat kerana mereka ini (segelintir pemimpin PAS)tidak cukup cerdik dalam berpolitik…mereka gagal menampilkan PAS sebagai parti yang mengetahui dan mengamalkan isi kandungan lima dimensi maqasid (matlamat) syariah yang sepenuhnya,” katanya.

Diminta mengulas pandangan PAS tidak konsisten itu, Nasharuddin mengulangi kenyataannya bahawa Majlis Syura Ulama merupakan bidang kuasa terbesar yang menentukan dasar-dasar dalam parti itu.

Ditanya sama ada PAS akan terus berpegang dengan keputusan itu walaupun akan wujud gesaan lain daripada rakan-rakan pembangkang selepas ini, beliau berkata: “Yang penting adalah tuntutan akidah.

“Isu ini tidak harus dipolitikkan bagi kepentingan masing-masing. Kalau serius pertahankan akidah Islam, maka harus serius pertahankan keputusan Majlis Syura Ulama,” tegasnya.

UTAMAPOLITIKKeputusan Majlis Syura Ulama PAS Perlu Dipatuhi - Nasharudin

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium