Keputusan PAS ibarat letak dua musuh dalam satu sangkar #pakdin.my

azmin-wanazizah

Tentu ramai menuduh macam-macam pada PAS yang didakwa buat U Turn dengan menyokong pencalonan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar selain turut mencadangkan nama Azmin Ali.

Sebelum ini, ramai pemimpin PAS menolak pencalonan Presiden PKR itu dan mahu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal.

Ambil kira senario semasa, PAS tahu nama Wan Azizah yang juga Adun Kajang tentu tidak diperkenan pihak Istana.

Justeru itu, mereka turut mencalonkan timbalan presiden PKR yang juga Adun Bukit Antarabangsa, Azmin yang selama ini diuar-uarkan sebagai bakal menteri besar Selangor sebelum Langkah Kajang.

Pemimpin PAS nyata bijak apabila menyokong Wan Azizah dan Azmin sekaligus.

Sokongan kepada Wan Azizah dilihat lebih kepada menghormati Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

Pencalonan Azmin pula bukan sahaja  ambil kira kemungkinan Wan Azizah tetapi PAS meletakkan PKR dalam keadaan lebih sukar membuat keputusan menentukan siapa lebih layak dijadikan menteri besar.

Umum tahu, kemelut Wan Azizah dan Azmin ekoran dakwaan kisah silam Anwar dengan isteri Azmin.

Lagi pun, mustahil Anwar mahu membeli laluan begitu sahaja kepada Azmin sedangkan sudah dicanang ke sana ke sini, Wan Azizah bakal menteri besar dan dapat sokongan majoriti 30 Adun pakatan rakyat Selangor.

Azmin pula sebelum ini mendapat sokongan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Selangor untuk mengisi jawatan itu.

Dalam erti kata lain, kedua-dua mereka boleh dianggap musuh yang diletak PAS dalam satu sangkar.

PAS tidak rugi apa dalah ‘perebutan’ jawatan dalam PKR ini.

Jika sebelum ini, PKR dan PAS menuding jari kepada PAS kononnya bakal membawa perpecahan dalam pakatan rakyat, kini PAS sudah membuat pilihan.

Mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat (MPR) yang sedang berlangsung bagi membincangkan nama Wan Azizah dan Azmin tentu sukar memutuskan nama siapakah bakal dihantar ke Istana.

Sekiranya PKR hanya hantar nama Wan Azizah ada kemungkinan ditolak dan jika hantar nama Azmin, tentu maruah Anwar dan Wan Azizah tercemar.

Pilihan yang PKR ada ialah menghantar kedua-dua nama kepada Istana kecuali salah seorang daripada mereka mengalah.

Namun, adakah Wan Azizah bersedia Azmin menerajui Selangor?.

Sama-sama tunggu apa akan jadi kepada mereka berdua selepas keputusan PAS seolah-olah meletakkan musuh dalam sangkar yang sama.

Keputusan mesyuarat MPR dijangka diketahui 7 malam ini.

Berkaitan