Kerabat Diraja, Kenamaan & Rakyat Ziarah Jenazah Raja Ashman - pakdin.my

Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah menatap wajah adindanya Raja Datuk Seri Ashman Shah, 54, di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak pada Jumaat. Almarhum Raja Ashman Shah mangkat di kediamannya di Bukit Damansara pada 1.30 pagi Jumaat dan jenazah dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar.

KUALA KANGSAR: Kerabat diraja dan orang kenamaan termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat menziarahi jenazah anakanda Sultan Perak, Datuk Seri Raja Ashman Shah ibni Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah di sini.

Raja Ashman, 54, mangkat di kediamannya di Kuala Lumpur awal pagi Jumaat akibat serangan asma.

Najib yang ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba kira-kira 3.40 petang untuk menziarahi jenazah yang ditempatkan di ruang khas tingkat dua bangunan istana berkenaan.

Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara bersama-sama kesemua anggota keluarga diraja itu berada di Istana Iskandariah.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir turut berada di ruang berkenaan.

Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran juga diperdengarkan oleh hadirin yang menziarahi jenazah Almarhum.

Perasaan hiba dan sayu menyelubungi suasana di istana berkenaan terutama balu baginda, Datin Seri Noraini Jane Kamarul Ariffin dan putera mereka Datuk Ahmad Nazim Azlan Shah serta dua puteri, Raja Eminah Alliyah dan Raja Bainunisa Safia.

Turut kelihatan ibu bapa dan keluarga Noraini Jane.

Orang awam tidak putus-putus menziarahi jenazah Almarhum sejak pukul 11 pagi.

Terdahulu, turut menziarahi ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

UTAMABERITAKerabat Diraja, Kenamaan & Rakyat Ziarah Jenazah Raja Ashman

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium