28 C
Kuala Lumpur
Saturday, October 31, 2020

Kerabu Bronok, Makanan Wajib Dicuba Bila Kunjungi Langkawi

kerabu-bronok

Pulau Langkawi bukan sahaja terkenal sebagai tempat pelancongan, malahan mempunyai rahsia di sebalik hidupan laut yang masih belum diketahui ramai di pulau itu.

Ia adalah sejenis makanan eksotik yang istimewa bagi penduduk pulau lagenda ini iaitu kerabu bronok.

Bagi yang belum pernah mendengar nama ‘bronok’, akan tertanya-tanya apakah itu bronok ?

Bronok adalah spesies hidupan laut yang seakan-akan gamat atau timun laut dan hidup di kawasan pantai yang berselut di Langkawi.

Teksturnya sangat licin seperti memegang sotong dan mempunyai beberapa warna antaranya coklat kehitaman (tua) atau merah jambu (muda). Isinya yang kenyal dan rasanya agak masin seperti air laut.

Bronok ini begitu unik kerana sifatnya yang alah kepada haba membuatkan ia akan cair menjadi air masin jika dimasak.

Mungkin ada yang tidak lalu memakannya sebaik melihat fizikal sebenar bronok, yang seakan-akan lintah gergasi yang menggelikan. Namun, bagi sesetengah orang ia adalah hidangan istimewa yang amat menyelerakan.


Bagi tradisi penduduk tanah tumpahnya darah Mahsuri itu, ia sudah menjadi hidangan wajib ketika majlis kenduri-kendara.

Tambahan lagi, lebih enak jika dimakan bersama-sama nasi putih yang panas beserta lauk-pauk.

kerabu-bronok-1

PROSES PENYEDIAAN BRONOK

Menurut pembuat kerabu bronok, Jah Ahmad, 84, proses penyediaan mudah sekali iaitu dimulakan dengan memotong bahagian pangkal kepala dan ekor untuk membuang isi perutnya.

Ia kemudian dihiris nipis agar senang dimakan.

“Oleh kerana sifatnya kenyal dan licin, gunakan pisau tajam untuk membuat hirisan nipis dan berhati-hati ketika memotongnya. Ia juga memerlukan ketelitian dan kesabaran tinggi,” katanya.

Menurut Jah, selepas siap dihiris nipis, bronok perlu dibersihkan dua hingga tiga kali sebelum ditapis bagi mengelakkan ia berair.

“Bahan asas dalam kerabu ini lebih kurang sama dengan cara membuat kerabu yang lain. Antaranya ialah sambal kelapa, bawang, cili, lengkuas dan kerisik serta daun gajus yang siap diracik. Setelah siap, bahan-bahan itu digaul sebati bersama bronok yang siap dibersihkan,” katanya yang sudah berpengalaman lebih 60 tahun menyediakan kerabu itu.

Katanya lagi, penyediaan kerabu ini juga boleh dipelbagaikan bahannya dan resepi mengikut selera serta kreativiti masing-masing.


CARA MENCARI BRONOK

Seorang nelayan yang hanya mahu dikenali sebagai Li berkata, bronok boleh diperoleh dengan menggunakan dua cara. Pertama, mengutipnya sendiri di tepi pantai dengan cara menyelam dan cara kedua dengan menggunakan bot atau sampan di tengah lautan.

Li, yang adalah anak jati pulau ini, berkata kebanyakan nelayan sekarang lebih gemar mengguna cara yang kedua kerana hanya perlu menggunakan jaring panjang yang boleh sampai ke dasar lautan yang berselut.

“Cara ini juga sangat mudah serta menjimatkan masa. Dengan hanya beberapa minit, kita boleh mengaut banyak hasil tangkapan.

“Hasil tangkapan bronok ini sudah menjadi sumber pendapatan buat saya sekeluarga dan bronok ini akan dihantar ke pasar untuk dijual kepada orang ramai.

“Bronok hanya boleh didapati pada musim tertentu sahaja,” tambahnya lagi.

PENGGEMAR KERABU BRONOK

Menurut seorang daripada penggemar tegar kerabu bronok, Ashah Itam, 59, kerabu ini adalah makanan yang sinonim dan tradisional bagi masyarakat Langkawi.

Namun, ramai pelancong yang datang ke Langkawi belum mengetahui tentang kewujudannya. Melainkan bagi mereka yang mengambil kesempatan untuk tinggal bersama dengan masyarakat komuniti di Langkawi.


“Kerabu bronok adalah hidangan yang menyelerakan bagi saya, samada dimakan bersama nasi putih ataupun diratah begitu sahaja. Ini kerana, bronok lebih sedap bila dijadikan kerabu berbanding memakannya secara mentah (yang belum dijadikan kerabu),” kata beliau.

Ashah, yang berasal dari Langkawi, berkata beliau gemar menyediakan sendiri kerabu bronok berbanding membelinya di kedai makan ataupun restoran kerana ia boleh hidangkan mengikut citarasa sendiri.

Sementara itu, beliau mencadangkan kepada pelancong yang datang ke Langkawi agar tidak melepaskan peluang untuk merasainya sendiri. Kini, kerabu bronok boleh didapati di mana-mana kedai makan atau restoran di sekitar Langkawi.

PENGALAMAN BERHARGA

Menurut seorang pelajar dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang terlibat dalam pembikinan dokumentari Bronok, Suliza Kasno, 23, berkata pengalaman mencari bronok sendiri memang tidak dapat dilupakan kerana ini adalah kali pertama beliau dapat mengenali lebih dekat dengan hidupan laut yang unik ini.

“Walaupun bronok agak menggelikan apabila pertama kali melihatnya, tetapi ketahuilah bahawa ia memang enak apabila disajikan sebagai kerabu walaupun rasanya sedikit masin dan kenyal.

Suliza berpesan kepada pengunjung yang datang ke Langkawi agar tidak melepaskan peluang untuk merasainya sendiri.

Berita Berkaitan

Awie ‘budak ajaib’ wira Kuala Besut

BESUT  ― Meskipun hanyalah orang biasa, namun nama Mohamad Najmi Daud kini menjadi popular...

4 pengadil dilayang ‘kad merah’

Tiada ihsan ke atas pengadil yang gagal melaksanakan tugas dengan baik selepas empat pengadil...

Mcphee mahu tebus kekecewaan di Aragon

Pelumba Petronas Sprinta Racing John McPhee menyasarkan kedudukan podium pada dua perlumbaan berturut-turut iaitu...

[Video] Jaring gol tunggal perlawanan, Luqman syukur bantu KV Kortrijk menang

Pemain muda bola sepak negara Luqman Hakim Shamsudin bersyukur selepas berjaya menjaringkan gol tunggal...

Komen

..

Kenyataan Macron: Mahathir kena fokus kepada individu bukan serang negara & bangsa kata Najib

Bukanlah nak defend sangat tapi saya rasa dunia patut bertenang dan membaca kenyataan Tun Mahathir secara penuh dan dalam konteks penuh. Perlu adil kepada Tun...
993PeminatSuka
4,664PengikutMengikut
3,360PengikutMengikut
13,700PelangganLanggan