Keraguan Terhadap Integriti RCI Terbukti Tidak Berasas, Kata UPKO - pakdin.my

SABAH RCIPENAMPANG — Setakat ini, keraguan pihak tertentu tentang integriti dan kebebasan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat peningkatan luar biasa jumlah penduduk Sabah, terbukti tidak berasas.

Timbalan Setiausaha Agung Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Senator Dr Lucas Umbul berkata ini kerana, semua saksi memberi keterangan dan bukti dengan selesa serta tanpa rasa takut dan menyebelahi sesiapa.

Oleh itu, kata beliau semua pihak perlu mengelak daripada memberi pendapat kerana komen mereka boleh menggugat saksi yang akan memberi keterangan dan menghalang mereka daripada memberi keterangan tanpa rasa takut dan menyebelahi sesiapa.

“Tiada siapa sepatutnya membuat kesimpulan pada peringkat ini kerana masih ramai saksi lagi yang akan tampil dan anggota RCI perlu diberi ruang secukupnya untuk menyelesaikan siasatan mereka,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

Lucas, yang juga Ketua UPKO Bahagian Tenom, berkata orang ramai hanya boleh memberi komen dan pendapat secara adil setelah RCI selesai mengadakan penyiasatan terbukanya iaitu “setelah laporan berkenaan ditulis dan dibentang kepada umum”.

Sambil menyatakan kegembiraan beliau tentang penghargaan orang ramai terhadap keputusan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menubuhkan RCI berkenaan, beliau berkata keputusan itu dicapai berpandukan prinsip asas dan pendekatan kepimpinan Najib.

Ia adalah 1Malaysia (keterangkuman) Rakyat Didahulukan (memberi keutamaan kepada kebajikan dan aspirasi rakyat) Pencapaian Diutamakan (pelaksanaan secara penuh berintegriti dan kecekapan).

Lucas berkata penubuhan RCI bukan merupakan slogan semata-mata, malah dilaksanakan dengan penuh kesungguhan, berlandaskan tema transformasi iaitu transformasi politik, transformasi kerajaan dan transformasi ekonomi.

“Ringkasnya, Pentadbiran Najib menzahirkan sebuah kerajaan baharu dan melaksanakan perubahan,” katanya.

Beliau berkata Najib benar-benar melakukan transformasi politik seperti yang dapat dilihat dalam keputusan kerajaan menghapuskan beberapa undang-undang yang disifatkan pelbagai pihak sebagai undang-undang drakonian seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Universiti dan Kolej Universiti.

“Sudah pasti, sebagai perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berdepan dengan pelbagai cabaran apabila membuat keputusan menubuhkan RCI.

“Bagaimanapun, cabaran yang dihadapi itu mudah difahami kerana peningkatan luar biasa jumlah penduduk Sabah merupakan suatu sejarah kerana ia berlaku di bawah pentadbiran dua pentadbir sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Lucas mengumumkan bahawa Setiausaha Agung UPKO Datuk Wilfred Madius Tangau disepina supaya hadir di hadapan RCI dan beliau bersedia untuk memberi keterangan sebagai saksi kepada suruhanjaya itu.

Prosiding seterusnya dijadual berlangsung dari 29 Jan hingga 1 Feb dan dari 22 hingga 27 Feb tahun ini.

UTAMABERITAKeraguan Terhadap Integriti RCI Terbukti Tidak Berasas, Kata UPKO

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium