Kerajaan Kedah Patut Rujuk MITI Sebelum Labur Balak Di Papua New Guinea – @MukhrizMahathir - pakdin.my

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah sepatutnya merujuk kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebelum mengambil keputusan untuk membuat pelaburan pembalakan di Papua New Guinea (PNG) yang kemudian mengalami kerugian.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata sungguhpun bukanlah satu peraturan untuk mana-mana kerajaan negeri merujuk kepada MITI sebelum membuat pelaburan luar, tetapi lebih baik sekiranya mereka berbuat demikian.

“Ada antara mereka yang berbuat demikian atas inisiatif sendiri. Amalan terbaik adalah untuk memaklumkan kepada kami kerana kami boleh beri nasihat sama ada rakan kongsi itu adalah rakan kongsi yang tepat atau tidak. Sama ada ini adalah perniagaan yang sebenar atau sebaliknya.

“Ini bukanlah untuk campur tangan tetapi setidak-tidaknya untuk mengelak perkara seperti ini daripada berlaku. Kami hanya dapat tahu selepas laporan audit diumumkan,” katanya selepas merasmikan ‘Oblong Port’ di Menara Alor Setar di sini, Jumaat.

Laporan Audit 2011, yang dikeluarkan baru-baru ini, menyebut bahawa Kedah Corporation Berhad (KCB), sebuah anak syarikat Menteri Besar Incorporated, membeli 70 peratus saham dalam MAS Incorporated (PNG) Ltd bernilai RM31.21 juta untuk membangunkan dua kawasan seluas 114,429 hektar di Papua New Guinea, tetapi dihentikan oleh lembaga pengarah KCB pada 1 Mac tahun lepas.

Pelaburan itu mengakibatkan KCB mengalami kerugian berjumlah RM13.49 juta.

Mukhriz, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah, berkata kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak bahawa perkara itu adalah satu perniagaan yang ada untung rugi, tidak boleh diterima.

“Kita dapati daripada laporan audit, tiada satu pun kajian kebolehlaksanaan yang dilakukan. Lembaga pengarah tidak diberi peluang untuk nilai perniagaan itu patut diteruskan atau tidak. Jelas ada penyelewangan yang berlaku sewaktu Menteri Besar dalam Lembaga Pengarah KCB. Beliau tidak patut cuci tangan,” katanya.

Beliau berkata Azizan tidak boleh bersikap menyalahkan pihak lain termasuk pengurusan KCB terdahulu dan kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu.

“Anda tidak boleh hanya berkuasa tetapi tidak mahu tanggungjawab. Kuasa datang bersama tanggungjawab. Tak boleh kejar kuasa tetapi tak nak tanggungjawab.

“Tanggungjawab Menteri Besar secara keseluruhan sama ada dia menguruskan secara langsung atau tidak,” katanya.

Katanya projek di Papua New Guinea bermula pada bulan Oktober 2008, iaitu selepas kerajaan negeri dikuasai pakatan pembangkang, jadi Azizan tidak boleh menuduh masalah itu bermula di zaman BN.

“Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman projek itu mendapat liputan media yang meluas dan beliau yang menyaksikannya. Bagaimana boleh sekarang tidak mengaku, kata tak tahu menahu apa yang syarikat lakukan,” katanya.

UTAMAEKONOMIKerajaan Kedah Patut Rujuk MITI Sebelum Labur Balak Di Papua New Guinea...

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium