Kerajaan kekal tidak iktiraf pelarian - pakdin.my

Kerajaan menegaskan ia kekal tidak mengiktiraf status pelarian dan mengklasifikasikan mereka sebagai pendatang asing tanpa izin (Pati) yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) berikutan timbulnya kegusaran awam tentang komuniti etnik Rohingya yang berada di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin berkata, atas dasar kemanusiaan, kerajaan membenarkan Pati yang memegang kad UNHCR untuk tinggal sementara di negara ini sebelum ditempatkan kes negara ketiga oleh UNHCR berdasarkan prinsip “kes demi kes”.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil maklum akan kegusaran awam yang timbul berhubung pemegang kad UNHCR daripada etnik Rohingya.

“Dalam hal ini, KDN ingin menegaskan bahawa Malaysia bukan negara pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967, sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Komen bersifat xenofobia yang menyasarkan komuniti Rohingya meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini, sewaktu pemimpin agama dan aktivis hak asasi merayu semua pihak bertenang.

Gelombang xenofobia itu antaranya disebabkan berita palsu mendakwa pelarian Rohingya menuntut kerakyatan. Ia menyusul langkah kontroversi pihak berkuasa negara mengusir bot membawa ratusan Rohingya yang melarikan diri dari Myanmar.

Dalam pada itu, Hamzah berkata sehingga Mac lalu, terdapat seramai 179,521 pemegang kad UNHCR yang tinggal secara sementara di Malaysia.

Katanya, daripada jumlah itu, 56.6% atau 101,584 adalah daripada etnik Rohingya.

Hamzah berkata, hasil semakan KDN mendapati Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) tidak pernah mendaftarkan pertubuhan atas nama Rohingya atau mana-mana kumpulan dalam kalangan etnik itu di negara ini.

Katanya, mana-mana pertubuhan yang mewakili etnik Rohingya di Malaysia adalah tidak sah di bawah Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335] dan boleh diambil tindakan mengikut undang-undang.

“Pemegang kad UNHCR daripada etnik Rohingya tidak mempunyai sebarang status, hak dan asas untuk mengemukakan sebarang tuntutan kepada kerajaan.

“KDN melalui jabatan dan agensi di bawahnya adalah komited dalam memastikan ketenteraman awam terus terpelihara dari masa ke masa,” katanya.

Hamzah berkata, perbuatan pemegang kad UNHCR yang mengganggu-gugat ketenteraman awam dan bertentangan dengan undang-undang negara tidak akan terlepas daripada tindakan.

Katanya, sepanjang tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), polis menerima 19 laporan terhadap pemegang kad UNHCR daripada etnik Rohingya dan 4 kertas siasatan telah dibuka.

“Selain itu, 2 orang tekong warganegara Myanmar bakal dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan terlibat dengan sindiket menyeludup masuk Pati yang memegang kad UNHCR ke dalam negara.

“Merujuk tindakan pihak berkuasa tidak membenarkan bot yang membawa etnik Rohingya memasuki perairan negara pada 17 April lalu, KDN menegaskan langkah itu adalah berlandaskan undang-undang bagi menjaga kedaulatan sempadan daripada diceroboh,” katanya.

Hamzah berkata, bagaimanapun atas dasar kemanusiaan pihak berkuasa Malaysia telah mengagihkan bekalan makanan sebelum mengiringi bot tersebut keluar dari kawasan perairan negara.

Katanya, langkah memperketatkan sempadan, termasuk lorong tikus bagi menghalang pencerobohan Pati adalah selari dengan langkah kerajaan menutup pintu masuk negara kepada warga asing bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

“KDN ingin menegaskan bahawa pihak berkuasa akan terus bersiap-siaga bagi menghalang sebarang pencerobohan terhadap sempadan mahupun perairan negara.

“Pada masa yang sama, Pati yang memegang kad UNHCR di Malaysia diingatkan agar terus menghormati dan mematuhi undang-undang di negara ini,” katanya.

UTAMABERITAKerajaan kekal tidak iktiraf pelarian

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium