Kerajaan Negeri Tidak Mampu Ambil Alih 4 Syarikat Konsesi Air Di Selangor, Kata Dr Hasan - pakdin.my

isuairposterKUALA LANGAT  — Bekas exco kerajaan negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali mempersoalkan kemampuan kerajaan negeri itu mengambil alih dan mengurus empat syarikat konsesi air di Selangor.

Beliau mendakwa kerajaan Selangor tidak mempunyai sumber kewangan yang dperlukan untuk meneruskan rancangan pengambilan alih empat syarikat itu.

Keempat-empat syarikat tersebut adalah Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Konsortium Abbas Sdn Bhd (ABASS) dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH).

Hasan, yang juga Presiden Persatuan Jalur Tiga (JATI), berkata demikian dalam Forum ‘Jom Tolak Pakatan’ anjuran Sekretariat ‘Jom Tolak Pakatan’ di Kampung Medan, Sijangkang, dekat sini, malam ini.

Forum tersebut turut dihadiri Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar.

Hasan mempertikaikan mengapa kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu beria-ria mahu mengambil alih syarikat konsesi itu terutamanya SYABAS yang memang mempunyai kepakaran dan 90 peratus tenaga kerja dan pengurusannya adalah kaum Bumiputera.

Sementara itu, Noh berkata kerajaan negeri tidak memikirkan kebajikan rakyat di mana ia telah menahan perbelanjaan modal (CAPEX) bagi SYABAS yang diperlukan oleh syarikat itu bagi mengganti paip-paip lama untuk mengurangkan kehilangan air semasa pembekalan ke rumah.

Selain itu, projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 ingin dicampurkan oleh kerajaan negeri dalam proses penstrukturan air di Selangor sedangkan ia adalah dua isu yang berbeza, katanya.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan tidak ada ada masalah untuk kerajaan negeri mengambil alih empat syarikat konsesi air itu tetapi ia perlu berunding dengan syarikat berkenaan atas prinsip ‘willing buyer, willing seller’ (berminat membeli-berminat menjual).

Beliau mendakwa pada masa ini bekalan air di Lembah Klang hanya cukup untuk kegunaan semasa dan tidak mencukupi untuk kegunaan projek pembangunan perindustrian di Selangor.

Beliau mendakwa setakat bulan lepas, sebanyak 450 projek kilang baharu tidak dapat dimulakan kerana air tidak mencukupi untuk mereka beroperasi jika kilang mereka siap nanti.

Pada tahun lepas sahaja sejumlah 236 projek kilang baharu tidak dapat dimulakan kerana faktor yang sama mengakibatkan kehilangan 12,367 peluang pekerjaan untuk anak-anak Selangor, katanya.

UTAMAPOLITIKKerajaan Negeri Tidak Mampu Ambil Alih 4 Syarikat Konsesi Air Di Selangor,...

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium