Kerajaan Persekutuan setuju beri pengecualian kawal selia LPG di Sarawak

0
57
am-:-kerajaan-persekutuan-setuju-beri-pengecualiana kawal-selia-lpg-di-sarawak

KUCHING — Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk memberikan pengecualian kepada pengedar-pengedar Gas Petroleum Cecair (LPG) di Sarawak untuk memohon kebenaran dan lesen bagi pengedaran LPG di negeri ini mulai esok, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Khas Bagi Menyemak Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) pada 13 April lepas yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dihadiri oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk   Hajiji Noor serta beberapa orang menteri-menteri persekutuan.

“Mesyuarat Majlis Khas tersebut telah bersetuju supaya pengecualian diberikan kepada pemegang-pemegang ‘Lesen Distribution of Gas Ordinance’ (DGO) yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak daripada keperluan mendapatkan kebenaran di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA) dan Lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (CSA),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nanta berkata menerusi pengecualian itu, pemborong dan peruncit LPG di Sarawak hanya memerlukan lesen DGO sahaja daripada Kementerian Utiliti Sarawak dan tidak lagi perlu memohon kebenaran di bawah PDA dan lesen CSA daripada KPDNHEP.

“KPDNHEP sentiasa komited dan sedia bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak dan Sabah dalam usaha merancakkan aktiviti perdagangan domestik bagi meningkatkan ekonomi di kedua-dua negeri itu khususnya serta Malaysia secara amnya,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here