30.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, January 19, 2021

Kerajaan Tak Halang Himpunan Bersih 3.0 – Menteri Dalam Negeri

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menghalang Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menganjurkan perhimpunan Bersih 3.0 kerana menyifatkan ia bukan sebagai isu yang boleh mengancam keselamatan negara.

Bagaimanapun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerajaan berharap penganjur memastikan perhimpunan itu dilaksanakan dalam suasana aman selaras dengan semangat Akta Perhimpunan Aman 2011 yang diluluskan Dewan Rakyat.

“Kerajaan tidak melihat rancangan Bersih ini sebagai isu keselamatan.

“Bersandarkan semangat Akta Perhimpunan Aman 2011, kerajaan tidak akan menghalang perhimpunan ini selagi ia tidak bercanggah dengan undang-undang yang telahpun digubal dan diluluskan oleh Parlimen.

“Sebab itu semua yang terlibat boleh berhimpunan tapi perlu memastikan jangan sampai menjejas dan menyusahkan orang ramai,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Selasa.

Bagaimanapun Hishammuddin menegaskan bahawa kerajaan tidak membenarkan perhimpunan yang membabitkan demonstrasi jalanan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai perhimpunan Bersih 3.0 dengan slogan ‘Duduk Bantah’ yang akan diadakan di Dataran Merdeka pada 28 April ini.

Selain itu Hishammuddin berkata beliau berharap penganjur dapat bekerjasama dengan polis bagi memastikan perhimpunan terbabit dapat dilaksanakan dengan baik.

“Saya nak mencadangkan agar penganjur bekerjasama dengan polis untuk menentukan tempat yang sesuai bagi mengadakan perhimpunan itu supaya jaminan keselamatan orang ramai dapat diberikan.

“Kita nak beri kebebasan untuk berhimpun tapi janganlah sehingga menjejaskan ketenteraman awam,” katanya.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.