32.9 C
Kuala Lumpur
Sunday, January 17, 2021

Kereta MP Batu kena baling telur selepas desakan letak jawatan

Kereta milik Anggota Parlimen Batu, P Prabakaran dibaling dengan telur dalam satu kejadian yang berlaku di Kuala Lumpur malam tadi.

Mengikut laporan polis, kejadian itu berlaku di belakang sebuah restoran di Batu 4/12 Jalan Ipoh selepas kereta itu diparkir oleh pemandunya sebelum pulang.

“Saya menghadiri mesyuarat di restoran tersebut dan meminta pemandu saya pulang terus ke rumah.

“Pada jam lebih kurang 12.20 tengah malam selepas selesai mesyuarat saya menghala ke kereta dan menyedari serpihan kulit telur dari sebelah pemandu dan menjejaki serpihan itu sehingga ke bahagian belakang bonet kereta saya.

“Saya membuat laporan ini atas kerisauan keselamatan saya terancam terutamanya dalam keadaan isu-isu semasa sekarang ini,” kata Prabakaran dalam laporan polis yang dibuatnya di ibu pejabat polis daerah (IPD) Sentul.

Secara kebetulan, serangan telur terhadap kereta Prabakaran berlaku selepas isu hangat apabila gabungan 14 NGO mendesaknya supaya melepaskan jawatan dan memberi laluan kepada Tian Chua kembali bertanding di kerusi Batu.

Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa naib presiden PKR itu layak untuk bertanding dalam pilihan raya.

Bagaimanapun Tian Chua menafikan yang beliau terbabit dengan sebarang desakan supaya anggota Parlimen Batu itu melepaskan jawatan.

Prabakaran, 23, bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu menyertai PKR selepas memenangi kerusi itu apabila Tian Chua didapati tidak layak untuk bertanding.

Pasa 14 Nov lalu, berdepan gesaan 14 NGO supaya melepaskan jawatannya, Prabakaran menegaskan beliau tidak berhasrat melepaskan tugasnya di pertengahan jalan.

Katanya sebagai anggota parlimen PKR beliau ingin terus menyumbang tenaga dan usaha untuk kebaikan parti serta merealisasikan agenda reformasi.

“Saya akan terus berkhidmat untuk rakyat secara telus dan adil tanpa membiarkan mereka di pertengahan jalan,” katanya dalam satu kenyataan.

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.