Kerjasama Pas Dan DAP Bercanggah Dengan Kehendak Islam – Shahnon - pakdin.my

Datuk Shahnon Ahmad

Perjuangan politik PAS kini tidak lagi menepati kehendak Islam apabila parti itu bekerjasama dengan DAP, kata Sasterawan Negara Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad.

Beliau berkata apa yang dilakukan oleh PAS sekarang ialah hanya menuruti kehendak politik DAP dan pendekatan seumpama itu bercanggah dengan kehendak Islam kerana PAS sepatutnya memimpin dalam memperjuang Islam.

Shahnon yang juga anggota PAS seumur hidup berkata adalah sangat menyedihkan kerana kerjasama PAS dengan DAP itu bukan seperti yang diharapkan dan ia bercanggah dengan pendekatan yang diambil Rasulullah SAW ketika memerintah dan bekerjasama dengan golongan bukan beragama Islam.

“Sepatutnya DAP tertakluk kepada peraturan Islam kalau mereka hendak bekerjasama dengan PAS,” katanya.

Beliau yang juga bekas anggota Parlimen Sik berkata dasar PAS sekarang tersasar daripada perjuangan asalnya apabila terpaksa menuruti kehendak DAP.

DAP sebelum ini telah menyatakan tidak akan menyokong penubuhan negara Islam di negara ini seperti yang dimahukan PAS.

Shahnon turut menolak penggunaan istilah ulama dan profesional dalam kalangan pemimpin Pas masa kini.

Menurutnya, istilah profesional adalah mengikut sesuatu disiplin kerjaya seperti kedoktoran, kejuruteraan dan pendidikan.

“Profesional adalah pakar seperti saya digelar profesor kerana saya adalah profesor dalam kesusasteraan.

“Pas tidak nampak ulamanya melainkan (Mursyidul Am) Tok Guru (Datuk) Nik Aziz Nik Mat sahaja,” katanya.

Shahnon yang terkenal dengan buku S.H.I.T sebelum ini berkata, pandangannya sekarang ini tidak lagi mahu didengar oleh sesiapa pun kerana sudah lama tidak aktif dalam politik.

Sungguhpun begitu, beliau masih aktif menjadi penulis kolum bagi sebuah majalah sastera.

Beliau menjalani pembedahan injap tahun lalu.

UTAMABERITAKerjasama Pas Dan DAP Bercanggah Dengan Kehendak Islam - Shahnon

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium