Kes Saman 100juta: “Saya ditawarkan RM100juta untuk dapatkan 10 MP Sabah keluar parti” – Anifah - pakdin.my

anifah-aman-hillary-clinton

Dalam pendedahan di mahkamah dan mengejutkan… Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman memberitahu bahawa seorang ahli korporat dan diketahui ramai kawan rapat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menawarkan kepadanya RM100 juta untuk membawa 10 ahli parlimen Barisan Nasional (BN) Sabah melompat parti.

Anifah, 61, berkata, rakan Anwar iaitu bekas Timbalan Pengerusi Eksekutif KFC, Datuk Ishak Ismail telah mendekatinya ketika dia sedang merokok bersama Ahli Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee dan yang lain untuk membuat tawaran itu di Hotel Hilton KL Sentral pada Mei 2008.

“Saya terperanjat dan marah. Saya rasa terhina kerana telah berkhidmat untuk Barisan Nasional sebagai ahli perlimen selama tiga penggal. Saya beritahu Ishak, ‘jangan sekali-kali diulang kata-kata itu’.” katanya ketika memberi keterangan berhubung saman RM100 juta yang difailkan Anwar terhadapnya Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis.

Beliau menjawab soalan yang diajukan paguamnya, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah.

“Saya menyatakan dalam ucapan di parlimen pada Mei 2008 bahawa saya kecewa dengan kerajaan persekutuan (bawah Tun Abdullah Ahmad Badawi) kerana tidak memberi pengiktirafan kepada MP daripada Sabah dan Sarawak.

“Bagaimanapun, saya nyatakan di parlimen pada ketika itu bahawa, walau kecewa dengan kedudukan itu dan BN tewas lima negeri, saya tidak akan berpaling tadah,” katanya.

Anwar memfailkan saman terhadap Anifah @ Haniff Amman berikutan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah yang dibuat beliau di luar negara.

Anifah akan memanggil tiga orang saksi iaitu Datuk Raime Unggi yang juga Ahli Parlimen Tenom; bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee; dan Duta Malaysia di Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang juga bekas Ahli Parlimen Bayan Baru.

Beliau berkata, semua mereka telah mengemukakan pernyataan saksi kepada mahkamah.

Sebelum ini, seorang lagi peguam Anifah, Jefrrey John memberitahu, lima lagi saksi akan disapina untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes saman itu dan mereka termasuk Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee.

Pada 27 Ogos, peguam Anwar Razlan Hadri telah menggulung kesnya selepas memanggil Anwar yang juga satunya saksi, untuk memberi keterangan.

Pada 27 Mei 2009, Anwar mengemukakan saman fitnah bagi RM100 juta terhadap Anifah dan Kerajaan Malaysia kerana mendakwa kenyataan menteri itu pada sidang media di Washington yang dihadiri Setiausaha Negara Amerika Syarikat ketika itu, Hillary Clinton, telah mencemarkan nama baiknya.

Ketua Pembangkang itu mendakwa Anifah menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak layak untuk memegang sebarang jawatan politik atau apa-apa jawatan dan berbahaya kepada masyarakat Malaysia.

Anwar juga mendakwa bahawa kenyataan defendan yang dilaporkan secara meluas dalam media tempatan dan asing, telah menimbulkan fitnah terhadap perwatakannya dan secara langsung dan tidak langsung menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak beretika, tidak berprinsip dan rasuah.

UTAMAPOLITIKKes Saman 100juta: "Saya ditawarkan RM100juta untuk dapatkan 10 MP Sabah keluar...

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium