Kes SRC: Najib bengang selepas tahu RM42 juta masuk akaunnya – Su Ling

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) yang merupakan saksi ke-42 perbicaraan SRC International hari ini mendedahkan dirinya pernah cuba letak jawatan.

Ung Su Ling dalam keterangan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd. Nazlan Mohd Ghazali terpaksa bertindak sedemikian ketika bertemu dengan Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu menjadi Perdana Menteri.

Kata Su Ling yang kini ‘menganggur’, Najib kelihatan terganggu dan ‘bengang’ (annoyed) apabila mengetahui dana sebanyak RM42 juta telah dimasukkan ke dalam akuan peribadinya.

Najib berkata pemindahan itu sebenarnya telah menjejaskan reputasinya serta kerjayanya, katanya lagi.

“Beliau (Najib) memberitahu saya, transaksi sebanyak RM42 juta itu sebenarnya telah merosakkan reputasi serta kerjayanya dengan teruk sekali malah beliau turut memberitahu tidak tahu dari mana wang tersebut dimasukkan.

“Kata beliau, dirinya tidak tahu duit itu telah dipindahkan ke akaun beliau. Namun saya tidak ingat pula seandainya beliau ada menyebut dana itu telah dipindahkan dari Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB). Saya tidak ingat,” katanya.

Su Ling berkata demikian ketika di soal balas oleh peguam bela, Harvinderjit Singh.

Ketika ditanya bagaimana reaksi Najib ketika itu, Su Ling berkata, Najib nampak bengang.

Susulan daripada itu, Su Ling mengakui menawarkan diri untuk meletak jawatan sebagai Ketua Eksekutif YR1M selain memohon maaf ketika bertemu Najib beberapa bulan selepas laporan mengenai wang dipindahkan ke dalam akaunnya disiarkan media pada tahun 2015.

Dalam pada itu, Su Ling juga pada prosiding yang ke-39 hari ini juga mendedahkan dirinya mengenali Jho Low atau Low Taek Jho ketika menuntut di Wharton School, University of Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS) antara tahun 2000 hingga tahun 2001.

Kata Su Ling, Jho Low pernah memberitahunya niat untuk pulang ke Malaysia bagi melakukan beberapa kerja selepas tamat pengajian termasuk memulakan perniagaan.

“Pada awal pertemuan itu, apa yang saya tahu beliau (Jho Low) ada membangunkan sebuah perniagaan dotcom namun syarikat itu kemudian dijual.

“Perkenalan ini sangat lama, mungkin ada juga maklumat yang tidak begitu tepat kerana berlaku sekian lama,” dedahnya.

Dalam keterangan semalam, Su Ling berkata pernah bekerja di Wynton Private Equity Group yang dimiliki oleh Jho Low.

Bagaimanapun, beliau menafikan syarikat Lotus Asset Management yang didakwa pernah menguruskan kewangan Jho Low.

Beliau pernah bekerja di Lotus Asset Management sebelum menyertai Wynton Group pada tahun 2004 bersama tiga individu lain.

Perbicaraan akan bersambung selepas rehat makan tengah hari dengan soal balas Su Ling oleh Tan Sri Shafee Muhamad mulai pukul 2.20 petang ini. –

Loading...