[Video] Kes SRC: Pihak Pendakwaan menawarkan hantu sebagai saksi - pakdin.my

Ok. Kita sudahpun selesaikan kes bahagian pendakwaan pada hari ini dan pihak pendakwaan telahpun menawarkan kepada kami senarai saksi.

Secara teknikalnya saksi-saksi ini (66 orang) mestilah wujud secara fizikal dan boleh digunakan di mahkamah oleh pihak kami akan tetapi kami perasan ada di antara saksi-saksi ini tidak ada di dalam negara ini dan kita juga diberitahu oleh pegawai penyiasat (IO) bahawa ada di antara saksi-saksi ini gagal dijumpai oleh mereka.

Jadi, adakah patut kamu menawarkan senarai saksi yang tidak boleh kami gunapakai? Kami akan membangkitkan perkara ini apabila tiba masanya.

Tarikh untuk penghujahan telah ditetapkan.
Dan hakim telah menegaskan, hanya jika sekiranya Najib diarahkan membela diri maka tarikh perbicaraan akan diberi bagi pihak pembelaan membentangkan testimoni pembelaan mereka.

Untuk hari ini, ketika testimoni oleh IO… untuk rekod, kami telah membuktikan bahawa kes ini (SRC) telah melalui segala proses MACC, melalui beberapa pegawai-pegawai utama mereka termasuk ketua jabatan yang berkenaan dan semestinya IO itu sendiri.

Dan kami telah mencadangkan dan kami tahu ianya adalah fakta (walaupun dinafikan oleh pihak mereka), semua DPP di MACC yang saya namakan telahpun meneliti kes ini dan juga 2 orang DPP di Pejabat Peguam Negara juga telah meneliti kes ini dan akhirnya setelah diperiksa oleh begitu ramai pegawai telah mencapai satu keputusan.

Juga telah berlaku soal balas antara pejabat Peguam Negara dan MACC bekenaan kes ini, akhirnya mereka telah memutuskan bahawa tidak ada kes (terhadap DSN) di dalam isu SRC dan tidak ada kes (terhadap DSN) di dalam isu 2.6 billion. Kemudian IO merayu agar keputusan ini dinilai semula namun sekali lagi permohonan ini telah ditolak.

Hanya setelah bulan Mei 2018 (selepas PRU ke 14) saksi (IO) memaklumkan kepada mahkamah sekali lagi beliau merayu agar keputusan kes ini dinilai semula oleh pejabat Peguam Negara dan kali ini mereka bersetuju untuk mendakwa DSN. Jadi itu amat menarik untuk diketahui sebabnya, apakah mereka telah menjumpai bukti baru selepas Mei 2018 atau tidak. Apa alasan baru untuk mendakwa kini?

Keduanya, anda juga telah mendengar saksi memberikan jawapan yang pelbagai setelah penutupan kes (SRC dan 2.6 billion) ini oleh Peguam Negara pada ketika itu (TS Apandi Ali). Pihak MACC sendiri telah mencadangkan sebagai alternatif, (memandangkan DS Najib bukan lagi isunya) senarai orang-orang lain perlu didakwa.

Antara mereka ini telah saya namakan sebelum ini (5-6 orang) dan mereka (MACC) telah berikan bukti-bukti langsung yang kuat lagi kukuh, juga butiran dan alasan mengapa individu-individu ini perlu didakwa.

Menariknya beliau (IO) memaklumkan bahawa tidak ada keputusan yang telah dilakukan dan cadangan ini dibiarkan tergantung. Ditambah pula terdapat larangan ke luar negara terhadap kesemua individu ini termasuk ke atas Nik Faisal.

Jadi persoalan yang perlu anda jawab yang juga akan menjadi hujahan kami nanti adalah mengapa senarai saksi-saksi ini tidak didakwa, mengapa dibiarkan tergantung, adakah kerana mereka memberikan bukti-bukti baru sekarang, atau apa sebabnya?

Apa yang saya katakan hari ini adalah fakta yang telah keluar di mahkamah tadi dan anda (wartawan) juga mengikuti perbicaraan tadi.

Satu lagi perkara signifikan selain perkara tadi adalah isu seorang blogger yang saya sangat serius untuk mengambil tindakan ke atasnya kerana blogger ini telah secara mutlak menghina mahkamah.

Ia bukan penghinaan mahkamah yang biasa. Ia adalah penghinaan mahkamah yang teruk yang saya pernah saksikan. Saya akan memberikan maklumat ini kepada Peguam Negara dan saya mahu lihat sekiranya Peguam Negara ini bertindak dan mendakwa blogger ini kerana menghina mahkamah.

Kerana sebelum ini, perkara remeh temeh dan kecil dilakukan Najib dan Peguam Pembelaan pun Peguam Negara menganggapnya sebagai menghina mahkamah, kini saya mahu melihat apakah tindakan Peguam Negara dengan aduan saya ini.

Jika beliau tidak bertindak atas aduan ini, kami akan membuat aduan di dalam mahkamah ini bagi memastikan blogger ini tidak mengulangi kesalahannya dan saya mahu pastikan blogger ini dihukum dengan berat atas apa yang dia telah katakan.

Beliau menghina DS Najib, membuat kesimpulan bahawa Najib bersalah, siap berkata budak tahun 1 fakulti undang-undang pun boleh tahu bahawa DSN bersalah, juga menuduh bahawa pasukan pembelaan sedang melakukan tugas yang tidak jujur. Semua ini telah dinyatakan. Anda tidak boleh ada penghinaan mahkamah yang lebih teruk daripada ini.

Saya mahu menjadikan blogger ini sebagai contoh supaya menjadi pengajaran kepada pihak lain bahawa sungguhpun tidak ada “gag order” anda tidak boleh bercakap sesuka hati anda.

Sekarang tiba masa soalan….

#Soalan1: Pihak pendakwaan telah membawa 57 orang saksi pendakwaan. Bagi pihak pembelaan, berapa jumlah saksi yang akan anda bawa?

Jawapan TS Shafee: Saya tidak boleh beritahu anda sekarang kerana kita perlu tahu apa keputusan hakim dahulu. Jika hakim memerintahkan DSN bela diri, JIKA….kerana hakim boleh saja membebaskan DSN…. jika diperintahkan bela diri, maka kami perlu tahu apakah ciri-ciri kesalahan yang diperintahkan untuk bela diri. Hakim mungkin tidak akan memerintahkan bela diri atas tuduhan asal secara mutlak. Tuduhan mungkin dipinda oleh hakim. Jadi bergantung kepada pertuduhan, strategi pembelaan kami akan dirangka. Jadi saya tidak boleh menjawab soalan anda secara tepat sekarang.

#Soalan2: Nik Faisal tidak ditawarkan sebagai saksi oleh pihak pendakwaan dan juga pihak anda?

Jawapan TS Shafee: Kami tak menawarkan sesiapa kerana itu bukan tugas kami. Pihak pendakwaan yang sepatutnya bawa Nik Faisal tetapi mereka tidak lakukan kerana Nik Faisal tiada di dalam negara. Namun ada orang-orang lain yang juga tidak ada mereka tawarkan sebagai saksi! Jadi saya tidak tahu bagaimana anda menawarkan hantu sebagai saksi.

#Soalan3: Pihak pendakwaan telah menyatakan bahawa mereka yakin hakim akan memerintahkan DSN bela diri berdasarkan bukti-bukti yang telah mereka berikan. Bagaimana anda fikir prospek anda setelah beberapa bulan testimoni di mahkamah ini?

Jawapan TS Shafee: Ok. Saya mahu bersikap yakin tanpa bercakap banyak (silently confident). Kami sangat yakin dengan pembelaan kami. Kami sangat yakin yang pihak pembelaan tidak perlu dipanggil membela kes ini (DSN dibebaskan). Kerana kita (pasukan pembelaan) telah mematahkan semua hujah, bukti dan saksi pihak pendakwaan. Tetapi seperti saya katakan tadi, saya tak mahu bercakap banyak soal ini sehingga hari keputusan.

#Soalan4: Apakah persediaan yang akan anda lakukan bagi menghadapi proses seterusnya?

Jawapan TS Shafee: Kami perlu menemuramah para saksi. Kami sudah menemuramah anak guam kami dan mempersiapkan beliau atas sebarang kemungkinan. Banyak saksi dan dokumen yang perlu diperiksa dan diteliti.

#Soalan5: Bagaimana pula isu tentang pihak pendakwaan dan pembelaan perlu bergegas memandangkan terdapat 2 perbicaraan yang akan berjalan serentak (SRC dan 1MDB). (Soalan kurang jelas)

Jawapan TS Shafee: Soalan yang baik. Anda tahu yang saya pernah katakan, pilihan untuk mempunyai pasukan yang sama dalam kedua-dua kes (SRC dan 1MDB) adalah merupakan pilihan yang mempunyai tujuan khusus. Ini adalah kerana, kedua-dua kes ini mempunyai strategi pembelaan yang identikal (seiras) dalam banyak cara.
Jadi setelah melalui kes SRC, ia akan menjadi satu kerugian sekiranya pasukan pembelaan bertukar. Kerana kami boleh menggunakan pengetahuan yang kami ada dalam kes SRC untuk melakukan tugas yang lebih baik di dalam kes 1MDB. Atas alasan itulah, kami kekalkan pasukan pembelaan yang sama untuk kedua-dua kes. Sudah tentu seseorang tertuduh itu mempunyak hak diwakili peguam seperti yang telah dijamin dalam perlembagaan. Dan beliau (DSN) telah memilih pasukan ini untuk menjadi pasukan pembelaannya dalam kesemua perbicaraannya kerana kes kes ini saling berkaitan.

Ini adalah kes pertama di dalam sejarah negara-negara Komanwel dan mungkin juga di dunia… apabila seorang yang menghadapi pertuduhan menghadapi deretan pertuduhan dan perbicaraanya disusun bertindih satu antara lain. Tidak pernah berlaku seumpama ini dalam sejarah!

Jadi ia bukan hanya tidak adil bagi beliau, ia juga adalah tidak adil bagi pasukan peguam pembela. Jadi ia akan menimbulkan isu apakah perbicaraan ini adalah perbicaraan yang adil… bukan kes SRC sekarang ini, tetapi apabila perbicaraan 1MDB mula bertindih.

Bermula esok akan berlaku pertindihan tarikh dan juga pertindihan beban tugas. Waktu siang kami uruskan kes 1MDB, pada waktu malam kami uruskan kes SRC. Ia bukanlah satu situasi yang dikehendaki oleh mana-mana peguam. Ini akan menjejaskan hak diwakili peguam beliau kerana pasukan peguam yang dilantiknya akan kurang efisien kerana masa tidak mencukupi dan limitasi fizikal peguam.

#Soalan6: MACC telah merancang untuk mendakwa Najib dahulu tetapi gagal. Apakah sebabnya dan sebagai peguam Najib, apakah yang anda telah lakukan untuk kes itu?

Jawapan TS Shafee: Saya telah menanyakan soalan itu (kepada IO SPRM) dan dia mengelak menjawabnya. Anda (wartawan bertanya) adalah satu-satunya orang yang waras. Dia menafikan SPRM mahu mendakwa Najib 4 tahun lepas.

Saya telah bertanya kepada saksi apakah anda pernah mendapat kertas pendakwaan (charge sheet) untuk mendakwa Najib dari Peguam Negara (Ghani Patail). Dia menafikan. Dia kata tak pernah dia terima. Dia tidak tahu. Jawapan-jawapan yang sangat mengelak.

Sekiranya benar kertas pendakwaan itu wujud dan dikeluarkan oleh Ghani Patail dan pasukannya, soalan yang ingin saya tanyakan adalah, bagaimana charge sheet ini telah dikeluarkan tanpa mengambil keterangan langsung dari DSN! Orang paling penting dalam kes adalah tertuduh.

Sekiranya anda berfikir untuk mendakwa seseorang, tidakkan anda akan memanggil orang berkenaan dan mendengar keterangan dia? Mana tau kamu ada penjelasan yang sangat bagus. Kamu langsung tak pernah menyoal siasat dia dan kamu berfikir untuk mendakwa dia pada 2015!

Jadi saya tanya kepada anda, apakah anda mahukan layanan sedemikian terhadap diri anda dan keluarga anda.

Anda tak pernah bertanya kepada individu itu dan anda terus mahu mengenakan pertuduhan terhadapnya. Bukan saja itu, Datuk Suboh juga tidak dipanggil untuk soal siasat kerana Datuk Suboh berada di luar negara. Dan anda pun tahu betapa kritikalnya peranan Datuk Suboh dalam kes ini. Nik Faisal juga tidak pernah disoal siasat. Dan anda juga tidak pernah soal siasat individu lain seperti Jho Lo dan beberapa orang yang lain.

Jadi, kes itu (pada 2015) tidak ada bentuk rangka (not even skeletal) pun. Jika benar charge sheet itu benar-benar wujud…(saya bukan katakan ia wujud) kerana kini mereka menafikannya. Mereka katakan Sarawak Report dapat charge sheet tersebut entah dari mana tapi bukan dari mereka. Dengan mudah mereka telah menafikan ia (charge sheet) adalah dari mereka. Jadi kami terima sebegitu.

Namun sekiranya ia benar-benar wujud, maka MACC dan juga beberapa pihak lain termasuk bekas Peguam Negara pada ketika itu (Ghani) telah cuba melakukan sesuatu yang langsung tidak dibenarkan undang-undang. Apakah mereka telah merancang melakukan rampasan kuasa (Coup d’etat).

Apakah mereka merancang menyingkirkan seorang Perdana Menteri yang sedang berkuasa dengan cara yang menyalahi undang-undang. Menyeretnya keluar dan mendakwa dia sedangkan kertas siasatan anda tidak langsung tersedia?
Tetapi saksi telah katakan beliau tidak tahu (tentang charge sheet yang viral melalui Sarawak Report dahulu).

#Soalan7: Anda memaklumkan kepada mahkamah bahawa bangku yang Najib duduk adalah sangat tidak selesa. Apakah perubahan yang anda harap untuk lihat?

Jawapan TS Shafee: Anda semua (wartawan) duduk di galeri awam. Anda ada satu lapisan kusyen di tempat duduk anda. Anda duduk sepanjang hari di situ. Sungguhpun demikian saya diberitahu oleh Jega (kenalan TS Shafee) yang punggungnya sakit kerana kusyen itu agak keras.

Anda bayangkan pula anda duduk hanya 1 jam di atas bangku kayu yang diduduki Najib (beliau kena duduk berjam-jam di atasnya)… duduk 1 jam saja…. sungguhpun anda muda dan punggung anda lebih pejal dari DSN, lihatlah jika anda boleh mengharunginya.

Jadi ini bertentangan dengan prinsip tidak bersalah sehingga terbukti bersalah. Anak guam saya telahpun mula dihukum. Saya tidak sedar perkara ini sebelum ini kerana kebanyakan anak guam saya adalah golongan muda. Tetapi DSN berusia lebih 60 tahun. Punggungnya tidak pejal dan tulangnya terasa sakit sehingga naik ke kepala.

Jadi saya telah meminta Peguam Negara dan hakim untuk melihat perkara ini kerana sistem ini perlu diubah. Mengapa tidak diletakkan saja sebuah kusyen, berapa je kosnya pun?

Saya pasti anda juga mungkin pernah ada saudara mara yang pernah didakwa. Anda juga pasti tidak mahu saudara mara anda itu dilayan seperti itu, dilayan seperti haiwan kerana dia belum didapati bersalah. Mengapa anda sudah mula menghukumnya?

Kamu letakkan pagar di sekelilingnya, seolah-olah beliau akan melarikan diri, sedangkan beliau (DSN) sedang dalam ikat jamin. Jadi pagar itu patut ditiadakan, beliau patut diberi duduk di atas kerusi dengan sebuah meja supaya beliau boleh mengikut perbicaraan ke atas dirinya dengan tenang.

Jika anda atau waris anda mengalami situasi yang sama baru anda akan terdetik di fikiran yang TS Shafee betul. Mungkin anda akan berlari kepada saya dan meminta saya menjadi peguambela anda.

#Soalan8: Apakah nanti DSN akan dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah?

Jawapan TS Shafee: Sudah semestinya beliau akan menjadi saksi utama dengan tanggapan hakim memerintahkan DSN membela diri. Anda sudah menganggap bahawa perintah bela diri telah dikeluarkan… boleh tak anda bersabar? Kami berdoa dan berharap Najib dibebaskan, anda pula dah menganggap Najib perlu bela diri.

Terjemahan oleh Nabeel Naqie

LIHAT video
https://youtu.be/R3yRyMU-G6c

Rujukan:
https://pakdin.my/tag/src-international

UTAMANAJIB RAZAK Kes SRC: Pihak Pendakwaan menawarkan hantu sebagai saksi

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium