26.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, March 7, 2021

Ketibaan Vaksin Pertama COVID-19: Program Vaksinasi Terbesar Untuk Kesihatan Rakyat – Datuk Norshida Ibrahim

KENYATAAN MEDIA

Ketibaan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam memperlihatkan usaha dan perit jerih kerajaan dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19 di negara ini.

Kesungguhan dan komitmen kerajaan termasuklah mereka yang dipertanggungjawabkan dan seterusnya digabungkan pelbagai pihak khususnya peranan Kementerian Kesihatan yang diterajui Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui Menterinya, Khairy Jamaluddin akhirnya membuahkan hasil.

Setelah pandemik COVID-19 menyerang negara awal tahun lalu, pelbagai inisiatif telah dijalankan dalam usaha mencari vaksin selain daripada pelbagai langkah lain yang telah diambil oleh pihak kementerian dan kerajaan itu sendiri dalam usaha menyelamatkan seluruh rakyat di negara ini.

Selain untuk negeri-negeri lain, Johor juga antara negeri yang turut menerima kumpulan pertama Vaksin COVID-19 apabila vaksin tersebut dibawa terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura ke Tambak Johor.

Tentunya ketibaan vaksin tersebut adalah satu perkara yang amat dinanti-nantikan oleh bangsa Johor dan Menteri Kesihatan, yang juga Ahli Parlimen Tenggara Datuk Seri Dr Adham Baba yang sebelum itu turut berada di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) turut sama menyambutnya bersama Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad di Tambak Johor.

Kita percaya ketibaan vaksin untuk rakyat Johor khususnya merupakan satu perkara yang ditunggu-tunggu oleh bangsa Johor itu sendiri dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19 dan pada masa yang sama memperlihatkan keseriusan kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad.

Kesanggupan dan kesediaanya menyambut vaksin berkenaan bersama Datuk Seri Dr Adham dan barisan kepimpinan lain menyerlahkan segala-galanya kepada rakyat Johor bahawa soal keselamatan dan kesihatan rakyat adalah perkara yang utama.

Secara keseluruhannya, ini adalah kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan oleh barisan kepimpinan kerajaan dalam soal yang melibatkan keselamatan serta kesihatan rakyat seluruhnya dalam usaha memastikan wabak ini dapat dihentikan, insya Allah.

Namun pada masa yang sama, kita juga kesal dan sedikit terkilan terhadap sikap segelintir mereka yang cuba memanipulasi serta cuba memainkan isu yang tidak sewajarnya berkaitan vaksin ini apabila cuba menjadi populis.

Seharusnya dan sewajarnya dalam soal keselamatan rakyat seumpama ini, lihatlah secara mendalam bagaimana usaha kerajaan khususnya Datuk Seri Dr Adham Baba serta barisan hadapan yang lain dalam menghadapi cabaran penularan pandemik ini.

Apa pun Wanita UMNO mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan ketibaan kumpulan pertama vaksin ini dan apa yang diharapkan ianya insya Allah sekurang-kurangnya memberi satu pengharapan baru kepada rakyat serta negara.

Yang jelas ketibaan vaksin ini sudah tentu akan merancakkan program imunisasi COVID-19 di negara ini dan Wanita UMNO secara dasarnya sentiasa bersama-sama dalam menjayakan program imunisasi ini.

Wanita UMNO cukup yakin program vaksinasi terbesar dengan tema ‘Lindung Diri, Lindung Semua’ adalah strategi kerajaan untuk memastikan sebanyak mungkin penduduk di Malaysia menerima vaksin COVID-19 bagi menyelamatkan nyawa.

Sejak pandemik itu dilaporkan di Malaysia pada 25 Jan 2020, sebanyak 1,051 kes kematian dilaporkan di negara ini akibat COVID-19 setakat Sabtu (20 Feb). Virus itu dilaporkan telah menjangkiti 280,272 orang, dengan 244,753 orang telah sembuh.

Biarpun vaksin COVID-19 telah pun berada di negara ini, marilah kita bersama-sama untuk terus mengamalkan normal baharu sepertimana yang disarankan oleh pihak Kementerian kesihatan antaranya 3W iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup separuh muka di tempat awam atau jika bergejala (wear), dan amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan (warn).

Kita juga perlu elakkan 3S iaitu jauhi kawasan yang sesak, elakkan kawasan yang sempit dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat. Kita mampu untuk menjadikan ianya amalan atau normal baharu dalam kehidupan seharian.

DATUK NORSHIDA IBRAHIM
Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia
Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.