Keutuhan Parti Terus Jadi Keutamaan Pemimpin UMNO - pakdin.my

muhyiddin-najib-kospirasi

Mungkin ada pihak tertentu yang kecewa selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada Rabu berakhir tanpa sebarang perbincangan mengenai agenda pemecatan mana-mana pemimpin seperti yang dihebohkan.

Sebelum ini hangat diperkatakan di media-media sosial kononnya Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan dipecat bersama beberapa pemimpin lain termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan bekas menteri besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, malah dilucut keanggotaan mereka.

Sebaliknya, para individu berkenaan, yang kononnya menghitung hari sebagai pemimpin dan anggota UMNO, keluar dari bilik mesyuarat dengan penuh keazaman untuk terus memperkasa dan memperkukuhkan parti.

Pastinya ada pihak yang tidak puas hati apabila ‘gerakan’ untuk memporak-perandakan UMNO gagal, sebaliknya mesyuarat MT pada Rabu bertukar menjadi medan memperbaharui ikrar kesetiaan dan komitmen terhadap parti.

Jelaslah bahawa keutuhan parti tetap menjadi keutamaan bagi para pemimpin berkenaan, sekali gus mengetepikan segala perbezaan yang wujud dan berjuang memastikan kelangsungan parti.

Beberapa anggota MT ketika ditemui kelihatan ceria, bersemangat dan berpuas hati dengan mesyuarat yang disifatkan mereka berlangsung dalam suasana kekeluargaan.

UMNO PERLU KUMPUL KEKUATAN

Penganalisis politik melihat senario berkenaan sebagai satu petanda positif untuk UMNO dalam usaha memperkukuhkan parti memandangkan ia berhadapan dengan krisis keyakinan dan persepsi.

Prof Madya Mohd Izani Mohd Zain daripada Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata keputusan MT yang tidak memihak kepada khabar angin kononnya ada pemimpin kanan parti akan dipecat, pastinya memberi khabar gembira kepada anggota parti.

“Tiada pemecatan yang dilakukan pada mesyuarat itu adalah keputusan yang amat dialu-alukan agar UMNO dapat terus memberi fokus berkhidmat kepada rakyat di samping melakukan penambahbaikan.

“UMNO perlu mengumpul kekuatan dan bukannya menambahkan lagi masalah sedia ada. Komitmen UMNO untuk menyelesaikan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan dana politik perlu dikotakan dengan segera,” katanya.

Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu dilapor berkata pemecatan para pemimpin UMNO ‘tidak pernah berada dalam agenda’ dan menyifatkannya sebagai spekulasi liar.

Sementara itu, Muhyiddin pula berkata beliau adalah seorang UMNO ‘totok’.

Mengulas lanjut, Mohd Izani berkata UMNO sepatutnya menjadi semakin kuat apabila Muhyiddin dan Mohd Shafie tidak lagi memegang jawatan dalam kerajaan.

“Kedua-dua mereka boleh fokus kepada pembangunan parti,” katanya.

Muhyiddin, selaku Timbalan Perdana Menteri dan Mohd Shafie sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar, digugurkan dalam rombakan Kabinet pada 28 Julai lepas.

Pensyarah kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Dungun, Terengganu Che Hamdan Che Mohd Razali berkata sikap Muhyiddin yang sanggup melupakan sengketa memperlihatkan bahawa Anggota Parlimen Pagoh itu masih yakin terhadap survival UMNO dalam politik Malaysia.

“Dari hari pertama pemecatan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau menunjukkan kesetiaan kepada parti dan pimpinan yang dipilih anggota parti apabila tidak melakukan tindakan yang boleh merosakkan dan menjejaskan nama baik parti,” katany.

LUPAKAN SENGKETA, FOKUS PERJUANGAN

Bak kata pepatah, ‘carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga’ yang bermaksud perselisihan sesama keluarga akhirnya akan bersatu kembali sesuai menggambarkan keadaan yang berlaku dalam UMNO ketika ini.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata anggota UMNO harus memberikan sepenuh kepercayaan kepada pucuk pimpinan parti untuk menyelesaikan segala permasalahan yang melanda.

Beliau juga mengharapkan agar anggota parti terus fokus terhadap perjuangan dan gerak kerja parti demi negara, agama dan bangsa.

“Anggota UMNO perlu ada kesetiaan yang tinggi dan berikanlah kepercayaan kepada pucuk pimpinan parti untuk menyelesaikan apa juga kemelut.

“Saya memuji presiden, timbalan presiden dan semua naib presiden yang sepakat untuk bersama-sama mempertahankan parti ini dan berkhidmat untuk tanah air,” katanya.

Mohd Izani menegaskan bahawa pemimpin seperti Muhyiddin dan Mohd Shafie adalah contoh pemimpin berjiwa besar yang meletakkan kepentingan parti lebih utama.

“Sudah pasti ada yang kecewa apabila soal pemecatan itu hanyalah khabar angin semata-mata, tetapi jika benar-benar berlaku sudah pastinya akan memburukkan lagi keadaan dan memberi kesan kepada UMNO.

“Pemimpin UMNO perlu bersatu agar menjadi contoh kepada anggota UMNO yang lain. UMNO akan jatuh bukan disebabkan kekuatan pembangkang tetapi kelemahan parti sendiri (jika perkara ini tidak diselesaikan),” katanya.

UTAMAPOLITIKKeutuhan Parti Terus Jadi Keutamaan Pemimpin UMNO

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium