KHUTBAH JUMAAT – “TANGGUNGJAWAB MENJAGA AKAL” - pakdin.my

khutbah-140228-1

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Pada hari Jumaat yang penuh dengan barakah dan di dalam masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat yang menjadi tetamu Allah sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.Mudah-mudahan kita menjadi umat yang terbaik, umat yang boleh dicontohi dan seterusnya memperolehi kebahagiaan dan kenikmatan di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk:“TANGGUNGJAWAB MENJAGA AKAL”.

Muslimin Yang Dikasihi Sekalian,

Berdasarkan kepada al-Quran dan al-Hadith Rasulullah SAW melarang setiap manusia mendekati perbuatan yang keji lagi hina yang boleh merosakkan diri manusia itu sendiri. Maka, merujuk kepada perkara tersebut terdapat ayat-ayat al-Quran yang menyentuh tentang pengharaman mengambil sesuatu yang boleh menjejaskan kesihatan dan kewarasan akal serta menjauhi perbuatan-perbuatan yang boleh merosakkan fizikal dan spiritual manusia. Firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah Ayat 90:

khutbah-140228-2Bermaksud:“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Oleh kerana Islam sentiasa memuliakan umatnya dan menganjurkan kehidupan yang sejahtera, maka larangan-larangan keras telah dimeterikan supaya setiap individu tidak terjebak dalam kebinasaan. Justeru, Islam menganjurkan umatnya supaya memelihara lima (5) prinsip yang menjadi keutamaan dalam kehidupan harian mereka untuk menjamin kebahagiaan di dunia dan kesejahteraan di akhirat iaitu memartabatkan kesucian agama, menghargai nyawa, memelihara akal, menjaga nasab keturunan dan memiliki harta dan mensucikannya.

Muslimin Yang Dikasihi Sekalian,

Pelbagai isu negatif yang rumit dan kronik untuk dicegah dan dibanteras oleh pihak berkuasa hari ini terutamanya isu-isu yang melanda umat Islam dalam negara ini berkaitan dengan pemikiran atau ideologi, akidah, kepercayaan dan yang boleh menjejaskan akal dan minda individu yang terlibat dengannya. Pada hari ini isu dadah umpamanya sudah sampai ke tahap serius dan kritikal sehinggalah ia diisytiharkan sebagai “Musuh Nombor Satu Negara” sejak 31 tahun yang lalu sehingga kini. Justeru, mimbar menyeru kepada semua pihak untuk sama-sama membantu bagi memerangi musuh utama negara ini sebagaimana yang dituntut oleh agama kita dalam usaha mencegah segala kemungkaran dan kemaksiatan. Firman Allah SWT di dalam surah al-Maidah ayat 2:

khutbah-140228-3Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).

Dan Sabda Rasullullah SAW:

khutbah-140228-4Maksudnya:Kaitan antara seseorang beriman dengan yang lainnya adalah seumpama sebuah binaan yang menguatkan antara satu sama lain.” (Hadith Muttafaqun ‘Alaih)

Sabda Rasulullah SAW:

khutbah-140228-5Maksudnya: Sesiapa di antara kamu yang melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya (mencegahnya) dengan tangannya, dan jika dia tidak berkuasa maka dengan lidahnya, dan jika dia tidak berkuasa, maka cegahlah dengan melahirkan perasaan benci perlakuan maksiat dan kemungkaran itu di dalam hatinya, cara mencegah sedemikian adalah selemah-lemah iman.

 

Sejajar dengan peringatan daripada al-Quran dan al-Hadith Rasulullah SAW, maka mimbar menyeru para jemaah dan umat Islam sekalian untuk bertindak iaitu: Pertama: Sebagai pemimpin perlu memperhebatkan program turun padang bagi membantu membimbing, mendekati dan memberi keyakinan hidup kepada keluarga yang menghadapi krisis sosial. Perbuatan mencerca, dan menghina mereka yang menghadapi ujian Allah SWT adalah bercanggah dengan ajaran Islam dan boleh membebankan lagi penderitaan hidup mereka. Kedua: Ibu bapa sebagai tunjang keluarga mesti bertanggungjawab memastikan agar diri dan ahli keluarga sentiasa memelihara kesucian agama dengan melaksanakan segala perintah Allah dengan sempurna dan istiqamah. Ketahuilah bahawa beristiqamah dalam melaksanakan tuntutan agama, insyaAllah seseorang mampu menghindarkan diri dan keluarga dari ancaman gejala negatif, perosak minda dan gejala sosial lain.Ketiga: Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memberi perhatian serius dalam usaha membanteras gejala-gejala negatif seperti pengedaran dadah, aktiviti penyeludupan, pemerdagangan manusia dan seumpamanya dan mereka yang bersubahat dengannya serta menyalurkan maklumat dan informasi kepada pihak berkuasa berkenaan seperti pihak keselamatan, Kastam dan Imigresen. Semoga dengan cara sedemikian aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang boleh dihalang dengan harapan indeks perlakuan jenayah boleh dikurangkan sehingga ke tahap minima.

Muslimin Yang Dikasihi Allah,

Bersempena dengan sambutan Hari Anti Dadah Peringkat Kebangsaan pada tarikh 19hb Februarisetiap tahun, mimbar menyeru para jemaah dan umat Islam sekalian, ingatlah dan insaflah ketika diri kita masih sihat, masih berkuasa dan bertenaga, marilah kita bekerjasama memerangi jenayah dadah yang boleh dianggap sebagai ibu segala kemaksiatan dengan menutup segala ruang penularannya.Banyak sudah slogan dan perkataan yang dikaitkan dengan isu dan ancaman dadah ini, antaranya Dadah Musuh No.1 Negara, Najis Dadah, Keldai Dadah, Anda Pilih Bahagia atau Sengsara, Belia Benci Dadah dan lain-lain lagi. Semua ini adalah bagi menggambarkan betapa bahaya dan beratnya masalah dan kerugian yang terpaksa ditanggung oleh individu, keluarga, masyarakat dan negara kita pada hari ini. Lihat juga kepada kesungguhan setiap penagih ini, mereka sanggup mati di tiang elektrik kerana keperluan untuk mendapatkan kabelnya, mencuri, meragut dan merompak apa-apa jua barangan yang kelihatan berharga di pandangan mereka untuk dijadikan dana tambahan. Besi-besi buruk, kasut atau selipar di rumah atau di masjid, binatang-binatang ternakan seperti ayam, kambing dan lembu serta buah-buahan milik individu yang boleh menjadi sumber kewangan bagi penagih menjadi sasaran. Kesan yang lebih buruk lebih daripada itu, ahli keluarga seperti ibu, bapa dan adik beradik yang sepatutnya diberi perlindungan dan kasih sayang juga menjadi mangsa penganiayaan dan kekejaman sehingga sanggup melakukan pembunuhan sekiranya permintaan mereka untuk memperolehi kewangan tidak dipenuhi atau ditolak. Dalam pada itu, ibu-ibu tunggal dan anak gadis yang berhasrat mencari pekerjaan dijadikan sasaran para pengedar dadah dengan menjadikan mereka keldai dadah di peringkat nasional dan antarabangsa.

Kita sebagai ibu bapa yang hidup bermasyarakat seharusnyalah sentiasa saling menasihati antara satu sama lain tentang betapa bahaya dan dahsyatnya kerosakan yang timbul akibat hilang pertimbangan dan kewarasan akal apabila terjebak dengan penyalahgunaan najis dadah. Justeru, sebagai ibu bapa kita haruslah senantiasa memberi bimbingan dan didikan kepada anak-anak kita yang masih berada di alam remaja mahupun di peringkat kanak-kanak supaya sentiasa menjauhkan diri dari anasir-anasir yang tidak sihat yang boleh menjerumuskan diri ke lembah kehinaan. Pepatah arab ada menyebut:

khutbah-140228-6Mafhumnya: “ Pemikiran yang bernas lahir dari tubuh badan yang sihat”.

Akal yang sihat dan senantiasa waras dalam berfikir menjadikan manusia lebih baik kedudukannya berbanding lain-lain makhluk Allah SWT. Kenapa? Dan mengapa? Kerana dengan akal minda yang waras dan sihat sahajalah yang mampu membimbing manusia untuk mempertahankan kesucian agama dan melaksanakan segala tuntutannya. Kerana dengan akal dan minda yang sejahteralah yang boleh memelihara kemuliaan nasab keturunannya dan menginfakkan hartanya pada jalan yang diredhai.

Justeru, marilah sama-sama kita mengambil kepedulian dan kecaknaan yang bersungguh-sungguh untuk memelihara akal pemikiran kita daripada terjerumus melakukan gejala-gejala negatif dan fasad kerana perkara ini adalah sebahagian daripada seruan agama. Selain daripada itu kita juga sama-sama bertanggungjawab untuk mencegah perbuatan jenayah yang mungkin berlaku di persekitaran hidup kita atau di mana jua kita berada dengan memperkukuhkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT, memperbanyakkan amal kebajikan, menjalankan tugas dengan jujur, menjauhi segala perbuatan yang menjerumus kepada dosa dan mungkar. Perbanyakkanlah amalan-amalan mudah dan ringkas tetapi memberi manfaat yang baik kepada setiap individu yang sentiasa beristighfar, bertasbih, bertahmid dan bertakbir, semoga segala kesalahan yang dilakukan selama ini akan diampunkan oleh Allah SWT.Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 7:

khutbah-140228-7

Bermaksud:Jika kamu berbuat kebaikan(maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu, dan jika kamu berbuat kejahatan, maka(kesannya yang buruk), berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu)kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu(dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki masjid(Bait’ul Maqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya.

khutbah-140221-7

UTAMAGAYA HIDUPAGAMAKHUTBAH JUMAAT - “TANGGUNGJAWAB MENJAGA AKAL”

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium