KL2017: Ganjaran Istimewa Menanti Atlet Bawah KPT – Idris Jusoh - pakdin.my

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjanjikan ganjaran istimewa kepada atlet institusi pendidikan tinggi (IPT) yang berjaya menyumbang pingat pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Menterinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata jumlah dan jenis imbuhan itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Pada temasya kali ini, atlet IPT menyertai 33 acara daripada 38 jenis sukan yang dipertandingkan.

“Sebagai penghargaan, kami akan tentukan bagaimana insentif boleh diberikan agar sumbangan pingat dan semangat patriotisme mereka kepada negara terus meningkat,” kata Idris kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Kebangsaan 2017 peringkat kementerian itu di sini hari ini.

Sehingga kini, atlet IPT telah menyumbang 39 pingat emas, 31 perak dan 27 gangsa dalam pelbagai acara seperti memanah, renang berirama, bola jaring dan pelayaran, katanya.

“Kejayaan itu membuktikan kementerian tidak hanya tertumpu kepada kecemerlangan sektor akademik sahaja, kita turut beri keutamaan dalam bidang sukan,” katanya, sambil menambah 264 atlet daripada 874 atlet Malaysia yang menyertai KL2017 adalah penuntut IPT.

Mengenai sambutan kemerdekaan ke-60 negara, Idris berkata kejayaan yang dikecapi negara ketika ini perlu diterjemahkan dalam konteks lebih luas iaitu keperluan untuk menfokuskan kepada sistem pendidikan tinggi yang terbaik di persada antarabangsa.

Beliau berkata KPT kini berada di landasan tepat ke arah mendepani cabaran semasa terutama dalam aspek melahirkan graduan yang berkualiti, holistik dan berciri seimbang dalam aspek ilmu, sukan, akhlak serta mempunyai sahsiah yang tinggi.

Idris berkata kementerian itu juga bersedia mengadaptasi teknologi dalam pendidikan bagi keperluan masa depan negara yang kerangka kerja atau kertas kabinet Pendidikan 4.0 dijangka dapat dibentangkan untuk perhatian kerajaan sebelum Oktober depan.

“Kertas Kabinet itu akan menggariskan kerangka atau panduan pendidikan tinggi negara dalam mendepani cabaran serta memenuhi keperluan Industri 4.0,” katanya.

UTAMAGAYA HIDUPKL2017: Ganjaran Istimewa Menanti Atlet Bawah KPT - Idris Jusoh

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium