Klip Audio: Adakah Latheefa mahu lepaskan Najib?

Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Chan Quin Er | pakdin.my

Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan rakaman suara membabitkan Datuk Seri Najib Razak kepada media terlebih dahulu dengan membelakangkan prosedur biasa semalam disifatkan sebagai pelik dan luar biasa.

Malah, tindakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya itu menimbulkan tanda tanya kerana beliau seorang peguam yang mempunyai 18 tahun berpengalaman sebelum menerajui suruhanjaya tersebut.

Jadi, adalah mustahil jika beliau tidak tahu Akta Keterangan 1950 dan Kanun Acara Jenayah secara mendalam.

Di bawah undang-undang Malaysia, bukti dan fakta dalam kes pendakwa raya mesti dikemukakan kepada tertuduh sebaik sahaja dituduh, bagi membolehkan tertuduh bersiap sedia untuk membela dirinya.

Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Chan Quin Er berkata, perkara ini adalah sangat jelas di bawah Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah, menyebabkan pendedahan pra-perbicaraan adalah kewajipan bagi pendakwaan.

Jika mana-mana pihak mendapat bahan baru yang boleh diklasifikasikan sebagai bukti semasa perbicaraan, ia mesti diserahkan kepada mahkamah, juga kepada pihak lain bagi tujuan penilaian, termasuk mengesahkan kesahihan dan kebolehterimaan keterangan dan berdepan dengan keterangan baru dalam pembelaan.

“Jadi mengapa Latheefa Koya mengadakan (sangat lama) sidang media untuk mendedahkan rakaman perbualan? Apa motif beliau sehingga membelakangkan prosedur? Pada sidang media yang sama, beliau berkata rakaman perbualan itu akan disiasat dan keputusan akan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Jadi, mengapa beliau tidak menunggu siasatan selesai kemudian baru buat sidang media?

“Satu persoalan masih belum terjawab iaitu apa motif dia? Adakah kerana masih tidak ada cukup bukti untuk mensabitkan Datuk Seri Najib Razak.

“Lantaran itu SPRM memutuskan untuk melakukan pendedahan dengan niat untuk mengheret Datuk Seri Najib kepada Mahkamah Pendapat Awam hingga mewujudkan tanggapan negatif terhadapnya sebagai suami yang patuh kepada isteri?

“Sekiranya demikian, maka apa gunanya negara ini mempunyai sistem kehakiman dan mahkamah? Kalau begitu mengapa tidak menonjolkan semua orang yang dituduh melakukan jenayah kepada media juga dan kemudian biarkan Facebook membuat keputusan?” soal Quin Er dalam kenyataannya menerusi akaun Facebooknya.

Bekas Timbalan Pendakwa Raya itu juga bertanya, adakah Latheefa (yang lama bersama PKR) sebenarnya adalah ejen rahsia kepada Datuk Seri Najib.

Persoalan itu timbul kerana pendedahan sesetengah bahagian rakaman perbualan itu seolah-olah mahu melepaskan Najib daripada pertuduhan jenayah kerana wujud pengesahan penglibatan seorang ‘Putera Arab ‘dan usaha Najib untuk membendung masalah itu dan bukannya terlibat dalam rompakan harta.

Lagi pula, hujahnya, tiada sebarang rakaman membabitkan Jho Low, dalang utama yang terlibat dalam skandal yang dihadapi oleh Najib.

Disebabkan itu, tambah beliau, peguam peribadi Tun Dr Mahathir Mohamad, Haniff Khatri panik hingga memberi amaran bahawa pendedahan rakaman itu boleh menjejaskan perbicaraan berkaitan 1MDB yang dihadapi oleh Najib dan kemungkinan selepas pendedahan Latheefa itu, Najib dibebaskan.

Peguam itu turut melahirkan kebimbangannya kerana percaya pendedahan rakaman tersebut bukan sahaja mendapat perhatian dalam negara tetapi juga luar negara.

Pendedahan perbualan yang membabitkan pemimpin-pemimpin negara lain akan mewujudkan tanggapan bahawa Malaysia sebuah negara polis, yang mana semua orang diintip – tidak terkecuali Perdana Menteri dan rakan-rakan sejawatnya.

Beliau mendakwa, Latheefa tidak bertanggungjawab kerana meletakkan hubungan diplomatik dan imej Malaysia di peringkat antarabangsa dalam bahaya, semata-mata untuk memusnahkan kerjaya politik seorang lelaki yang sudah tidak lagi berkuasa.

Selain itu, tindakan tersebut dilihat sebagai kempen yang memberi manfaat kepada Pakatan Harapan menjelang Pilihan Raya Kecil Kimanis tidak lama lagi.

Biarpun, Latheefa memaklumkan objektif utamanya di sebalik pendedahan ini bagi menangani percubaan untuk ‘melemahkan badan-badan bebas’, tetapi, hujah Quin Er pula, adakah betul bagi Latheefa untuk menghakis badan kehakiman yang juga bebas.

“Bagaimanakah Latheefa Koya boleh menjadi begitu jahil terhadap undang-undang dan prosedur? Adakah bukan kerana reputasi beliau sebagai seorang peguam yang hebat maka dia dilantik sebagai ketua SPRM? Atau adakah kerana reputasinya sebagai peguam parti politik tertentu?

“Atau mungkin ‘Malaysia Baru’ bermakna ‘Prosedur SPRM Baru’ juga? Saya rasa, terlalu dahsyat untuk kedaulatan undang-undang. – MalaysiaGazette